Sokongan masyarakat Cina kepada BN meningkat

Meningkat kepada 37.4%, pertambahan 12.4% berbanding sokongan pada PRU13 cuma 25%

Oleh Reno Benjamin //

SIBU: Analisis Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak mengenai Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) mendapati sokongan masyarakat Cina secara keseluruhannya kepada Barisan Nasional (BN) sekitar 37.4 peratus.

Pengarah JASA Sarawak Hassan Busu berkata ini merupakan satu peningkatan sangat baik iaitu dengan pertambahan sebanyak 12.4 peratus berbanding sokongan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) cuma 25 peratus.

Katanya, trend sokongan masyarakat Cina di kawasan majoriti pengundi Cina di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat kajian menunjukkan peningkatan sebanyak 36.9 peratus.

“Bagi trend sokongan kawasan majoriti pengundi Cina yang tertinggi menyokong BN, kita dapati sokongan masyarakat Cina paling tinggi di DUN Bawang Assan iaitu 48.6 peratus.

“Manakala sokongan terendah masyarakat Cina bagi kawasan majoriti Cina ialah di Kota Sentosa iaitu 26.4 peratus,” katanya pada Majlis ‘A Night Of Unity – BN’ anjuran JASA Sarawak di sini, malam kelmarin.

Majlis turut dihadiri Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Penyelidikan Sains dan Bioteknologi merangkap ADUN Nangka Dr Annuar Rapa’ee, ADUN Machan Allan Siden Gramong, Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwie serta Faridah Osman, Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce serta yang lain.

Menurut Hassan, analisis JASA juga mendapati trend sokongan pengundi Cina di kawasan majoriti Bumiputera di enam kerusi DUN sekitar 46.8 peratus.

Katanya kawasan DUN majoriti Bumiputera di mana pengundi Cina paling ramai menyokong BN ialah di Tanjung Datu iaitu 89.9 peratus.

“Manakala bagi kawasan majoriti pengundi Bumiputera yang pengundi Cina terendah menyokong BN ialah di Lambir hanya 32.4 peratus,” jelasnya.

Bagi trend pengundi bandar, Hassan memberitahu bahawa sokongan pengundi Cina secara keseluruhan di Sarawak agak tinggi dan menunjukkan peningkatan 36 peratus sementara 51.5 peratus di pinggir bandar dan 72.8 peratus di luar bandar.

Katanya, di bandar-bandar utama trend undi Cina di kawasan Sibu dan Sarikei agak tinggi berbanding di Kuching.

“Di Kuching sokongan pengundi Cina sekitar 33.2 peratus makalala di Sibu (37 peratus).

“Namun, sokongan masyarakat Cina paling tinggi dari kawasan utara di Miri dengan 47.7 peratus,” katanya.

Hassan juga memberitahu, undi popular diperolehi BN secara keseluruhannya ialah 62.2 peratus undi berbanding pada PRN10 hanya 55.4 peratus.

Katanya, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan besar jika dibandingkan dengan undi popular pembangkang cuma mendapat 37.8 peratus.

Beliau yakin kemenangan besar BN pada PRN11 dapat dipertahankan sekiranya semua jentera BN bersatu bagi mempertahan kemenangan tersebut.

“Saya yakin kalau kita semua bersatu, kita mampu mempertahan kemenangan ini sehingga PRU akan datang dan PRN12,” katanya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/28/sokongan-masyarakat-cina-kepada-bn-meningkat/