SK Senadin berjaya kutip dana RM23,000 hasil larian jogaton

MIRI: Larian Jogaton Sekolah Kebangsaan (SK) Senadin semalam berjaya mengutip dana berjumlah RM23,000 sekali gus melebihi sasaran awal pihak sekolah mengutip kira-kira RM20,000.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Senadin Henry Jugah berkata, semua hasil kutipan itu akan digun sepenuhnya untuk menaik taraf kemudahan di sekolah berkenaan.

“Kita berterima kasih dengan semua pihak termasuk wakil rakyat, ibu bapa, guru serta murid yang berusaha gigih mencari dana untuk menaik taraf kemudahan di SK Senadin,” katanya pada penutupan Larian Jogaton SK Senadin semalam.

Henry memberitahu pihak sekolah telah merancang beberapa projek khas termasuk membina pondok PIBG dan Astaka bagi kemudahan ibu bapa, guru dan pelajar.

“Kita menganjurkan larian jogaton ini untuk menambah dana serta untuk perbelanjaan lain seperti menai taraf kemudahan sekolah bagi memastikan pelajar berada dalam keadaan selesa,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Lee Kim Shin ketika merasmikan majlis itu berharap agar pihak sekolah dapat meningkatkan prestasi akademik dan ko-kurikulum sekolah.

“Kita amat menghargai sumbangan ibu bapa dalam menjayakan kutipan dana jogathon ini dan ia jelas membuktikan bahawa ibu bapa mengambil berat perkembangan semasa di sekolah termasuk hal-hal berkaitan dana,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap agar guru dapat meningkatkan prestasi pelajar dalam akademik dan kokurilum (sukan) bagi mengekalkan prestasi sekolah itu dalam kedua-dua bidang berkenaan.

“Aktiviti sebegini bukan sahaja bertujuan untuk mengumpul dana tetapi pada masa sama ia mengeratkan kerjasama dan perpaduan di kalangan ibu bapa dan pihak sekolah,” jelasnya.

Bahkan aktiviti sedemikian membolehkan ibu bapa mengetahui secara langsung perkara berlaku di sekolah terutama dalam soal akademik, keperluan pihak sekolah dan sebagainya.

“Ibu bapa dan guru boleh berbincang mengenai akademi pelajar, seterusnya mengenai keperluan-keperluan sekolah yang memerlukan penglibatan dan kerjasama ibu bapa,” katanya.

Hadir sama ialah Penolong Kanan I SK Senadin John Unggat serta ibu bapa yang turut memberi sokongan kepada anak-anak dalam larian jogaton berkenaan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/14/sk-senadin-berjaya-kutip-dana-rm23000-hasil-larian-jogaton/