Sistem perkhidmatan hospital ikut rantau optimum penyampaian perkhidmatan

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak kini sedang menuju ke arah menyediakan sistem perkhidmatan hospital mengikut rantau dalam usaha mengoptimumkan penyampaian perkhidmatan di seluruh negeri ini.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian, pembahagian rantau itu termasuk Zon Utara (Hospital Miri), Zon Tengah (Hospital Sibu) dan Zon Selatan (Hospital Umum Sarawak HUS).

Malah katanya, tiga buah hospital juga kini giat dalam pembinaan untuk menambah lebih banyak hospital bagi menampung keperluan rakyat di Sarawak seperti Hospital Petra Jaya, Hospital Lawas dan Hospital Sri Aman.

“Setakat 31 Oktober 2016, perkembangan terkini bagi pembinaan Hospital Petra Jaya adalah 42.51 peratus, berbanding perkembangan dijadualkan iaitu 78.18 peratus manakala bagi pembinaan Fasa 2B Hospital Lawas merangkumi pembangunan struktur dan pembinaan kini dalam proses menunggu buka tender daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Bagi Hospital Sri Aman pula, perkembangan fizikal ialah 12 peratus berbanding perkembangan yang dijadualkan iaitu 18 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Kerajaan Tempatan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini, semalam.

Beliau menjelas lanjut, dengan siapnya pembinaan bagi ketiga-ketiga hospital baharu itu kelak, ia sudah pasti dapat mengurangkan kesesakan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital sedia ada.

“Hospital Petra Jaya yang bernilai RM495 juta akan dilengkapi 300 katil manakala Hospital Lawas pula bernilai RM27.67 juta dengan anggaran 76 katil serta Hospital Sri Aman bernilai RM176.28 juta dengan dilengkapi 108 katil,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dr Sim juga berkata, selain pembinaan tiga hospital baharu itu, beberapa hospital lain sedia ada turut akan dinaik taraf mengikut kewajaran.

Misalnya kata beliau, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), antara projek yang diluluskan ialah pembesaran dan penaiktarafan Blok Klinikal Hospital Miri, Unit Rawatan Rapi (ICU) Neonatal Hospital Limbang serta perkhidmatan lif baharu di HUS dan Hospital Sibu.

“Sementara itu, bagi perkembangan projek pembinaan Bilik Pembedahan di Hospital Miri kini ialah 97.5 peratus,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Sim juga memberitahu bahawa Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di Hospital Bau pada masa ini masih mampu memenuhi keperluan seramai 54,246 populasi di Bau.

Untuk itu katanya, pada masa ini tiada perancangan segera untuk membina Klinik Kesihatan Ibu dan Anak baharu di Bau, bagaimanapun, perancangan untuk membina Klinik Kesihatan Bau baharu kini sedang dibincangkan dan klinik ini nanti juga akan dibekalkan perkhidmatan ibu dan anak.

“Cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Bau itu di peringkat mengenal pasti tapak bersesuaian,” jelasnya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/29/sistem-perkhidmatan-hospital-ikut-rantau-optimum-penyampaian-perkhidmatan/