Sindiket seludup diesel ditumpas

Oleh Rusnan Mustafa//

DI SINI: Ismail menunjuk lokasi kesemua kapal terbabit ditahan dalam Operasi Bersepadu Maritim Siri Pertama 2016. Turut kelihatan Dickson.

DI SINI: Ismail menunjuk lokasi kesemua kapal terbabit ditahan dalam Operasi Bersepadu Maritim Siri Pertama 2016. Turut kelihatan Dickson.

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak menerusi Operasi Bersepadu Maritim Siri Pertama 2016 berjaya menumpas sindiket penyeludupan minyak diesel di perairan negara.

Pengarah APMM Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismail Bujang Pit berkata, sebanyak 100,000 liter minyak dianggar bernilai RM135,000 dirampas dalam operasi dengan kerjasama Jabatan Laut Wilayah Sarawak (JLWS) dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) yang diadakan dari 14 hingga 22 Mac lalu itu.

Beliau menjelaskan operasi melibat tujuh aset melibatkan lima aset APMM manakala selebihnya JLWS dan JPLS dengan kekuatan 120 pegawai dan anggota menahan kapal kargo berkenaan di kedudukan 75 Batu Nautika dari Mukah pada 15 Mac lalu.

“Kapal kargo dengan muatan minyak ini ditahan kerana dipercayai melakukan aktiviti penyeludupan minyak di laut.

“Walaupun cuba melarikan diri, kapal itu berjaya dipintas dan seorang tekong bersama lima awak-awak semuanya warga asing Thailand berusia lingkungan 19 hingga 51 tahun telah ditahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Ops Bersepadu Maritim Siri Pertama 2016 di Kapal MV Bahtera Laut, Jeti Kompleks APMM Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas dekat sini semalam.

Mengulas lanjut mengenai sindiket itu Ismail berkata, modus operandi kapal kargo tersebut dipercayai membeli minyak daripada kapal lain dan dijual semula kepada pihak ketiga di laut.

Tambahnya, ia berdasarkan penemuan buku rekod penjualan minyak, resit-resit pembelian dan beberapa dokumen lain.

“Kes ini sedang disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Pada masa sama beliau, mendedahkan selain itu, tiga tangkapan juga telah dibuat dalam operasi sama melibakan kapal nelayan tempatan iaitu masing-masing di kedudukan lebih kurang 60 batu nautika dari pantai Kuala Mukah pada 15 Mac, 30 batu nautika dari Balingian (20 Mac) dan 13 batu nautika dari pantai Tanjung Sirik pada 22 Mac lalu.

Jelasnya, ketiga-tiga kapal nelayan tempatan itu didapati melanggar syarat lesen dan kini disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

“Justeru, kita akan terus giat menjalankan Ops Bersepadu ini dengan kerjasama JLWS dan JPLS selaras dengan agenda Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi membanteras pencerobohan serta aktiviti jenayah di perairan negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail memberitahu APMM Wilayah Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Sarawak, JLWS dan JPLS akan menganjurkan Pertandingan Memancing di Laut Dalam Miri pada 14 hingga 17 April akan datang.

“Pertandingan ini menawarkan hadiah lumayan kepada johan iaitu sebanyak RM20,000 selain pelbagai kategori dipertandingkan dan mereka yang berminat boleh menghubungi APMM untuk maklumat lanjut,” tambahnya.

Hadir sama pada sidang media itu semalam, Pengarah JLWS Dickson Dollah dan Pengarah JPLS Belayong Nyuak.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/03/25/sindiket-seludup-diesel-ditumpas/