Sindiket seludup bir, rokok ke pedalaman tumpas

MIRI: Polis Miri percaya dapat menumpaskan satu sindiket penyeludupan bir dan rokok ke kawasan pedalaman apabila berjaya merampas sejumlah 180 kartun bir dan 1,018 kartun rokok pelbagai jenama bernilai RM68,000.

Rampasan dibuat hasil intipan selama dua jam sepasukan anggota Bahagian Risik Ibu Pejabat Batalion 12 (BN12) Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri di tepi Sungai Niah iaitu di bawah jambatan menghala Kampung Sepupok.

Pegawai Pemerintah BN12 PGA Miri, Superintenden Tan Hiap Seng ketika dihubungi Utusan Borneo mengesahkan rampasan itu namun memberitahu tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes tersebut.

Terdahulu katanya, bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 2 petang kelmarin, sepasukan anggota dari Bahagian Risik BN12 telah pergi ke lokasi tersebut.

“Setiba di tepi Sungai Niah iaitu di bawah jambatan menghala arah ke Kampung Sepupok, anggota terbabit mendapati sebanyak 180 kartun bir jenama Beck dan 15 kotak besar mengandungi rokok pelbagai jenama diletakkan di situ.

“Setelah membuat intipan hampir dua jam di kawasan itu, namun kelibat ‘tuan punya’ barang tersebut tetap tidak muncul, justeru anggota terbabit telah merampas barangan tersebut untuk dijadikan barang kes,” katanya.

Menurut Tan, bir dan rokok itu dibawa dari luar dan dipercayai tidak mempunyai duti kastam disyaki cuba diseludup untuk dipasarkan di kawasan pedalaman.

Katanya, mungkin selama ini mereka menggunakan jalan darat untuk menyeludup barangan tersebut ke kawasan pedalaman namun apabila mengetahui taktik mereka dapat dihidu pihak polis, justeru menukar strategi menggunakan pengangkutan air.

Apabila diperiksa katanya, 15 kotak besar itu mengandungi 180 kartun rokok keretek jenama Apache, 160 kartun Gudang Garam, Surya Slim (268 kartun ), Menara Putih (120), Menara merah (60), Surya Mild (60), June (50), Surya Hijau (80), Xpert Merah (7), Extreme Hijau (11), Extreme Merah (7) dan Absolute (15).

Justeru menurut Tan, pihaknya menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui siapakah dalang di sebalik sindiket penyeludupan ini dan ke mana lokasi barangan tersebut hendak dihantar.

Justeru katanya, 180 kartun bir dan 1,018 kartun rokok pelbagai jenama dengan nilai rampasan keseluruhan RM68,000 kemudian dipunggah ke kenderaan polis untuk diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/14/sindiket-seludup-bir-rokok-ke-pedalaman-tumpas/