Sindiket pelacuran guna Wechat tarik pelanggan

MIRI: Sindiket pelacuran beroperasi di sebalik premis rumah urut kini mempromosikan khidmat seks melalui aplikasi WeChat sebagai modus operandi terbaharu bagi mendapatkan pelanggan.

Aktivis masyarakat, Wan Zain Syed Mohdzar ketika mengulas mengenai taktik itu memberitahu penguatkuasaan dan pemeriksaan lebih kerap perlu dijalankan di rumah urut di bandar seluruh Sarawak.

“Situasi ini agak membimbangkan apabila aplikasi WeChat menjadi medium mereka mencari pelanggan malah berselindung di sebalik perkhidmatan urutan badan tetapi menawarkan khidmat seks,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Tambahnya, orang awam tanpa sebarang sekatan dan kawalan boleh mengakses WeChat dan melihat tawaran disediakan tukang urut juga dipercayai wanita negara asing.

“Sekarang banyak rumah urut dibuka bak cendawan tumbuh selepas hujan. Jika tiada penguatkuasaan lebih kerap, kita takut operasi pelacuran ini menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita,” katanya.

Aktiviti tidak sihat itu dikesan Utusan Borneo apabila beberapa gambar wanita berpakaian seksi dengan aksi dalam aksi ghairah boleh diterima di telefon bimbit menggunakan aplikasi WeChat.

Seperti biasa, helah dilakukan oleh sindiket ini ialah cuba mengumpan pelanggan dengan khidmat urutan badan secara tradisional yang akhirnya berkesudahan dengan perkhidmatan seks.

Siasatan mendapati, pengendali laman aplikasi WeChat itu mempromosikan khidmat disediakan dengan meletakkan maklumat terperinci seperti lokasi tempat mereka beroperasi.

Difahamkan, pengiklanan seperti itu mampu menarik ramai pelanggan kerana kecanggihan telekomunikasi pada hari ini mampu menghubungkan lelaki hidung belang terus ke lorong persundalan.

“Keadaan itu dikhuatiri memberi pengaruh kepada masyarakat terutamanya golongan remaja bawah umur yang cenderung untuk mencuba perlakuan tidak bermoral ini,” jelasnya.

Sehubungan itu kata Wan Zain, penguatkuasaan dan operasi maksiat perlu dilakukan lebih kerap bagi memastikan rumah urut ini tidak menawarkan khidmat seks dan menyalahi undang-undang tempatan.

“Orang awam juga harus memainkan peranan untuk membanteras sindiket pelacuran dengan memberi maklumat kepada pihak penguatkuasaan agar aktiviti persundalan ini dapat dibanteras sepenuhnya,” jelasnya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/09/sindiket-pelacuran-guna-wechat-tarik-pelanggan/