Shell bantu belia mula, kembang perniagaan

Shell LiveWIRE menganugerahkan lima usahawan muda S’wak dengan geran RM10,000 seorang

// Oleh Sudan Ajang //

TAHNIAH: Adam (tengah) menyampaikan replika cek kepada Sebastian,
kelihatan sama Chok di Miri semalam.

TAHNIAH: Adam (tengah) menyampaikan replika cek kepada Sebastian, kelihatan sama Chok di Miri semalam.

MIRI: Shell melalui program Shell LiveWIRE menganugerahkan lima usahawan muda Sarawak dengan geran sebanyak RM10,000 setiap seorang bagi membantu mereka memula dan mengembangkan perniagaan semalam.

Penerima dan pemenang Shell LiveWIRE itu ialah Khairool Adzelan dan Wee Hung Yee dari Kuching, Zaid Iskandar dan Sebastian Lim dari Miri dan Leonard Langgong dari Bintulu.

Replika cek disampaikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii dan turut disaksikan Pengurus Besar Business Excellence Chok Chee Tsong mewakili Pengarah Urusan Sarawak Shell Berhad (SSB) Simon Durkin di pejabat Shell Lutong.

Khairool mengusahakan ‘CodeLab’ iaitu pembelajaran dalam pembuat kod digital, Wee (penternakan ayam organik menggunakan teknologi), Zaid (pencetakan baju T dan pelekat), Sebastian (perahan sejuk jus) manakala Leonard (fabrikasi keluli untuk trak atau kiosk makanan).

Salah seorang peserta, Sebastian Lim berkata beliau berasa bertuah kerana dipilih mengikuti program LiveWIRE dan menyifatkannya sebagai satu peluang keemasan.

“Sejak di bangku sekolah, saya sudah mempunyai impian membuka kafe. Walaupun saya mempunyai latar belakang keluarga terlibat dalam perniagaan berkaitan pendidikan namun saya tidak banyak mengetahui selok-belok perniagaan.

“Apabila Shell LiveWIRE memilih saya, saya anggap ia seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Saya banyak menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman baharu di bawah kendalian mereka.

“Terima kasih kepada Shell kerana membantu anak-anak muda tempatan seperti saya merealisasikan impian sebagai usahawan,” katanya yang kini mengusahakan mikro jus, ‘SimplyDelicious’.

Shell LiveWIRE merupakan program keusahawan bertaraf dunia dan diperkenalkan di 15 negara di seluruh dunia. Sejak dilancarkan pada 1982, ia telah melatih lebih 10 juta usahawan dan menyokong lebih 9,000 perniagaan.

Di Malaysia, projek itu julung kali dilancarkan di Sabah pada 2015 sebelum diperluaskan ke Sarawak pada tahun ini.

Seramai 130 belia berusia antara 18 hingga 35 tahun menyertai program ini dan daripada jumlah itu seramai 30 peserta mempunyai idea paling bernas dan menepati objektif program keusahawanan dipilih mengikuti program itu selama setahun.

Dalam tempoh tersebut, mereka mengikuti beberapa siri kursus sebagai panduan untuk memulakan perniagaan, beroperasi dan menguruskan perniagaan sendiri.

Setiap peserta juga diberi latihan dan mentor oleh pengurus pembangunan perniagaan Shell dan fasilitator yang diiktiraf oleh Shell LiveWIRE.

Pada penghujung program, 30 peserta diberi peluang membentangkan cadangan dan model operasi perniagaan mereka kepada panel hakim terdiri daripada fasilitator LiveWIRE dan pengurus program.

Cadangan itu dinilai berdasarkan beberapa kriteria antaranya nilai produk atau perkhidmatan dan pemasaran.

Program LiveWIRE ini akan diadakan lagi pada tahun depan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/30/shell-bantu-belia-mula-kembang-perniagaan/