SFC selamatkan enggang dalam kurungan

MIRI: Selepas menyelamatkan beruang matahari baru-baru ini, Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya menyelamatkan burung enggang hitam yang hidup dalam kurungan di Kampung Sayung, Limbang, kelmarin.

Haiwan terlindung itu diselamatkan selepas SFC menerima maklumat orang ramai selain imej burung berkenaan yang dimiliki secara haram tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Ketua pegawai eksekutif (CEO) SFC, Zolkipli Mohamad Aton berkata, hasil pemeriksaan mendapati burung itu dalam keadaan baik dan sihat.

Bagaimanapun katanya, enggang hitam itu harus dirampas kerana memelihara unggas berkenaan adalah melanggar undang-undang.

“Semua spesies burung enggang adalah hidupan liar yang dilindungi mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar (1998).

“Sesiapa yang didapati bersalah kerana memburu, membunuh, menyimpan atau menjual hidupan liar ini dan yang terlindung sepenuhnya atau mana-mana bahagian badannya, akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi hidupan liar terlindung sepenuhnya, mereka yang disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda sehingga RM50,000, manakala bagi hidupan liar terlindung, pesalah boleh dikenakan penjara dua tahun dan denda RM25,000.

“Kejayaan terbaharu itu, menunjukkan SFC kini serius membanteras jenayah berkaitan dengan hidupan liar yang terlindung termasuk memiliki tanpa premit sah dan juga untuk tujuan diperdagangkan.

“Kita akan mengambil tindakan secara berterusan dan menangani hingga ke akar umbi, dalam usaha kita melindungi pelbagai spesies fauna dan flora di negeri ini, terutama yang dilindungi sepenuhnya dan diancam kepupusan,” katanya.

Katanya lagi, burung jantan itu akan dilepaskan di dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Hitam, Limbang dalam tempoh terdekat.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/09/612232/sfc-selamatkan-enggang-dalam-kurungan