Sesi minum dua rakan berakhir dengan pertumpahan darah

PARAH: Mangsa mengalami cedera parah selepas dilibas dengan parang dan
diberi rawatan lanjut.

PARAH: Mangsa mengalami cedera parah selepas dilibas dengan parang dan diberi rawatan lanjut.

MIRI: Sesi minum sambil berhibur dua rakan di sebuah pusat karaoke di pekan Marudi awal pagi semalam bertukar tegang sehingga menyebabkan pertumpahan darah apabila salah seorang bertindak menyerang seorang lagi.

Mangsa yang berusia 37 tahun dan hanya dikenali Suddin berbangsa Bugis, berasal dari Indonesia mengalami cedera parah di bahagian perutnya akibat dilibas dengan senjata tajam dipercayai sebilah parang.

Ketua Polis Daerah (KPD) Baram DSP Gabriel Risut mengesahkan mengenai kes itu semalam memberitahu bahawa pegawai polis bertugas di Balai Polis Marudi menerima panggilan kecemasan jam 3.15 pagi memaklumkan ada seseorang mengalami kecederaan parah di bahagian perutnya.

Mangsa mengalami pendarahan teruk ditemui orang awam di kaunter Hotel Baram dalam keadaan berlumuran darah.

Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis pergi ke tempat mangsa ditemui dan memburu serta menahan seorang lelaki berbangsa Kenyah.

Polis turut merampas sebilah parang sepanjang 12 inci yang masih ada kesan darah dan dibuang ke dalam parit di hadapan Jalan Tua Pek Kong Marudi di sini.

“Siasatan awal polis mendedahkan suspek dari Long Bangsa, Baram bersama mangsa berseronok dan minum di sebuah pusat karaoke di pekan Marudi sebelum kejadian.

“Bagaimanapun, sesi minum tersebut bertukar tegang apabila timbul perselisihan faham antara kedua-dua mereka,” katanya.

Suspek kemudian kembali ke rumah lalu mengambil parang dan menyerang mangsa.

Sementara itu, polis menahan reman suspek untuk membantu siasatan manakala mangsa dikejarkan ke Hospital Marudi untuk mendapatkan rawatan lanjut.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/02/sesi-minum-dua-rakan-berakhir-dengan-pertumpahan-darah/