Sesi Bertemu Pelanggan tetap diteruskan

Oleh Connie Sylvia Mesa//

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) tetap meneruskan program Sesi Bertemu Pelanggan MBM biarpun kurang sambutan daripada masyarakat setempat.

Datuk Bandar MBM, Adam Yii berkata program tersebut dilaksanakan oleh pihaknya setiap minggu di tempat yang berlainan.

“Wakil MBM pelbagai seksyen mengendalikan program ini dan menerima aduan atau masalah dihadapi pelanggan mengenai perkhidmatan disediakan MBM.

“Secara tidak langsung, program ini memberi khidmat di lokasi tepat bagi membolehkan pelanggan mendapatkan maklumat terkini serta terperinci mengenai perkhidmatan MBM.

“Selain itu, kita juga menerima respons cepat daripada pelanggan mengenai keberkesanan khidmat diberikan,” jelasnya kepada pemberita selepas sesi bertemu pelanggan di Pasar Lutong, di sini semalam.

Mengulas mengenai kurang sambutan daripada orang awam berhubung program sama sebelum ini, Yii menjelaskan pelanggan kini boleh mengemukakan aduan ataupun masalah dengan alternatif lain.

Katanya, antara khidmat boleh digunakan untuk mengemukakan aduan tersebut ialah tali khidmat atau terus menghubungi beliau dan ahli-ahli majlis.

“Pelanggan juga boleh membuat aduan terus melalui jawatankuasa masyarakat setiap kampung atau perumahan masing-masing kemudiaanya disampaikan kepada MBM.

“Program sesi bertemu pelanggan itu tetap diteruskan dalam usaha merapatkan hubungan di antara MBM dengan pelanggan peringkat akar umbi,” ujarnya.

Menurut Yii, walaupun hanya lima aduan diterima melalui sesi bertemu pelanggan di Pasar Lutong, namun ia penting untuk MBM mengetahui tentang aduan bagi meningkatkan perkhidmatan lebih baik.

Pada sesi tersebut, MBM menerima lima aduan daripada orang awam. Empat kes melibatkan kejuruteraan penyelenggaraan perparitan di Taman Tunku (1), penyelenggaraan jalan (2), masalah kerosakan lampu jalan di Lutong (1).

Manakala satu kes berhubung kesihatan awam iaitu penduduk di kawasan Lutong Baru memohon melaksanakan aktiviti pengasapan (fogging).

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/19/sesi-bertemu-pelanggan-tetap-diteruskan/