Sertai perhimpunan Hari Kemerdekaan Sarawak hari ini

SIBU: Masyarakat di bahagian ini dialu-alukan menyertai perhimpunan sempena Hari Kemerdekaan Sarawak di Pintu Gerbang Sibu jam 8.30 pagi hingga jam 11 pagi pada hari ini (22 Julai).

Ia juga terbuka kepada semua tidak kira parti kerajaan, parti pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya bagi bersama-sama meraikan perayaan Hari Kemerdekaan Sarawak.

Menurut jurucakap penganjurnya, ia dianjurkan oleh Parti Bumi Kenyalang (PBK).

“Perhimpunan kami ini telah mendapat kebenaran Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri dan Majlis Perbandaran Sibu (MPS).

“Justeru, jangan berasa curiga untuk menyertai kami kerana kita mahu semangat Sarawak ada pada perhimpunan tersebut,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Selain itu katanya, perhimpunan tersebut turut mendapat kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sarawak Independent Alliance (SIA) dan Persatuan Anak Sarawak (PANAS).

“Perhimpunan tidak melibatkan sebarang unsur politik sebaliknya untuk meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak dan mengimbau kembali sejarah kemerdekaan Sarawak ke-53,” jelasnya.

Tambah beliau, pihak penganjur menyasarkan sekitar 500 orang akan mengambil bahagian dalam perhimpunan termasuk dari Kuching, Bintulu, Miri, Sarikei dan kawasan dari wilayah tengah.

“Selain itu, 150 peserta berbasikal juga akan terlibat dalam perhimpunan dan program akan dimeriahkan dengan persembahan tarian etnik Sarawak.

“Kita juga akan mengagihkan hadiah misteri kepada 500 orang pertama yang hadir pada perhimpunan itu. Diharapkan orang ramai datang bersama-sama memeriahkan program pada 22 Julai ini,” tambahnya.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Franky Anong di talian 019-8617110 atau George Chen (019-8873515).

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/07/21/sertai-perhimpunan-hari-kemerdekaan-sarawak-hari-ini/