Semarakkan rasa cinta kepada negara: Rosey

MIRI: Rakyat Malaysia harus menyemarakkan semangat cinta akan negara seterusnya menghayati pengorbanan tokoh pejuang terdahulu bagi mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah asing.

Menteri Muda Solidariti Rosey Yunus mengakui semangat patriotik dalam kalangan generasi kini semakin luntur disebab perubahan zaman serta teknologi gajet menguasai masyarakat.

“Semangat patriotik tidak harus luntur dalam jiwa rakyat sebaliknya kita harus menghargai kemerdekaan, keamanan dan ketenteraman dinikmati hari ini agar ia dapat diwarisi generasi baharu,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Sambutan Hari Kemerdekaan katanya membawa pengertian amat besar kepada rakyat negara ini bahkan tarikh keramat 31 Ogos 1957 itu harus dimaklumkan kepada anak sejak pendidikan awal.

“Kita telah berjaya mengekalkan keamanan selama 59 tahun, sebagai generasi baharu adalah wajar mereka menyelami, menghayati dan berkongsi ilmu tentang kemerdekaan bagi memupuk semangat patriotik,” jelasnya.

Rosey juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata detik Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman melaungkan merdeka sebanyak tujuh kali adalah sejarah paling besar dalam negara.

“Ia menandakan bahawa rakyat Malaysia tidak lagi dijajah, memperoleh kebebasan serta dapat bergerak tanpa sebarang ancaman, begitu pentingnya kemerdekaan kepada rakyat ketika itu,” jelasnya.

Tambahnya, Tunku Abdul Rahman dan pemimpin terdahulu bukan sahaja berjaya mendapatkan kebebasan dari segi fizikal tetapi juga membebaskan penjajahan dari minda dan jiwa rakyat.

“Masyarakat harus mengingatkan kepada generasi baharu akan kesusahan dan kepayahan pemimpin terdahulu mendapatkan kemerdekaan supaya nikmat keamanan ini dapat diwariskan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Borneo mendapati tidak banyak rumah persendirian mengibarkan Jalur Gemilang bagi menunjukkan tanda patriotik dan memperingati Hari Kemerdekaan negara.

Jalur Gemilang kebanyakannya dikibarkan oleh taska dan tadika, sekolah rendah dan menengah, bangunan kerajaan, swasta, rumah kampung dan perumahan yang masih menghargai sambutan kemerdekaan negara.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/25/semarakkan-rasa-cinta-kepada-negara-rosey/