Sektor perladangan, perkilangan dan pembinaan perlu ramai pekerja tempatan

MIRI: Sektor perladangan, perkilangan dan pembinaan antara yang memerlukan tenaga kerja terutama anak tempatan Sarawak, kata Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak Datu August Buma.

Beliau berkata sektor perladangan melibatkan perusahaan kelapa sawit, perkilangan (pemprosesan) dan pembinaan (industri baharu) telah menunjukkan jumlah kekosongan pekerjaan yang amat ketara.

“Persepsi penduduk tempatan bahawa pekerjaan itu kotor dan berbahaya menyebabkan permintaan terhadap tenaga kerja asing tinggi di negeri ini.

“Malah rakyat tempatan sendiri kurang berminat bekerja dalam sektor tersebut menyebabkan kebanjiran tenaga kerja asing,” katanya di sini, semalam.

August memberitahu, faktor malu menyebabkan penduduk tempatan tidak mahu mengambil bahagian dan bekerja dalam sektor perladangan, perkilangan dan pembinaan.

“Ini dilema dihadapi pekerja tempatan kerana berasa malu bahkan menganggap pekerja-an berkenaan tidak berse-suaian dengan kelulusan atau minat mereka,” katanya.

Beliau menambah, kadar pekerja mahir di negara ini ialah antara 26 hingga 28 peratus daripada jumlah tenaga kerja dan jumlah itu perlu ditambah kepada 35 peratus menjelang tahun 2020.

“Kementerian Sumber Manusia memain peranan amat penting dalam memenuhi keperluan termasuk menawar pendidikan kemahiran menerusi 32 institusi kemahiran di bawah kelolaan kementerian,” katanya.

August berkata bagi mencapai status negeri maju dan rakyat berpendapatan tinggi, maka sudah tiba masanya penduduk tempatan dilatih dan dibentuk menjadi tenaga kerja mahir.

“Di Singapura, kira-kira 50 peratus pekerjanya terdiri daripada tenaga kerja mahir manakala situasi sama turut berlaku di Jerman iaitu 80 peratus daripada tenaga kerja berkemahiran tinggi berbanding peguam,” jelasnya.

Sehubungan itu, penduduk tempatan harus mengikis perasaan malu atau terlalu memilih pekerjaan sebaliknya memenuhi pasaran pekerjaan yang banyak di Sarawak khasnya dalam sektor terbabit.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/11/11/sektor-perladangan-perkilangan-dan-pembinaan-perlu-ramai-pekerja-tempatan/