Sejiwa Senada berjaya catat 1.5 juta pengunjung

CERIA:
Adenan bersama Jamilah semasa mengadakan lawatan pameran sempena Sejiwa Senada
di Metro City Matang, semalam. Turut kelihatan Abang Johari (dua kanan),
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali
Hasan (kanan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi
Abdul Ghani (kiri).

CERIA: Adenan bersama Jamilah semasa mengadakan lawatan pameran sempena Sejiwa Senada di Metro City Matang, semalam. Turut kelihatan Abang Johari (dua kanan), Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (kanan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani (kiri).

Program jana RM6.8j pendapatan kepada pengusaha PKS pelbagai lokasi seluruh negeri: Abg Johari

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Program Sejiwa Senada 2016 yang diadakan bermula awal tahun ini mencatatkan 1.5 juta pengunjung sepanjang program diadakan di seluruh negeri.

Menteri Pelancongan juga menteri bertanggungjawab, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata program Sejiwa Senada diadakan bermula pada 8 Januari tahun ini menyaksikan 10 lokasi seluruh negeri.

“Pada hari ini di sini, ia merupakan lokasi terakhir atau ke-10 dan kita mencatatkan jumlah pengunjung keseluruhan daripada 10 lokasi terbabit adalah 1.5 juta orang yang datang.

“Kita berterima kasih kepada perkhidmatan awam menjadi penggerak kepada rakyat sebagai pelaksanaan dalam program bersama rakyat dan diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani,” katanya.

Tambah Abang Johari, ia menunjukkan jentera penjawat awam di negeri ini amat baik dalam usaha mentransformasi Sarawak kepada sebuah negeri maju dalam Malaysia.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis perasmian Grand Finale Sejiwa Senada 2016 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Si Adenan Satem serta isteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu dan dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang di Metro City Matang di sini, semalam.

Sejiwa Senada yang diadakan di sembilan lokasi sebelum ini termasuk Miri, Sibu, Sarikei, Saratok, Kapit, Mukah, Limbang, Sri Aman serta Kota Samarahan itu berjaya menjana RM6.8 juta pendapatan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Abang Johari pada masa yang sama turut menggesa kepada rakyat Sarawak khasnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini untuk bersama memberi mandat kepada Ketua Menteri meneruskan lebih banyak pembangunan.

“Kita turut berterima kasih kepada rakyat atas sambutan yang amat baik terhadap dasar oleh Tok Nan (ketua menteri)..maka itu kita harus memberi mandat kepada beliau.

“Banyak dasar dilaksana yang menguntung rakyat termasuk baru-baru ini penurunan kadar cukai pintu dan memansuhkan cukai tanah,” katanya.

Katanya yang juga Timbalan Presiden PBB, Sarawak mempunyai pemimpin yang amat unik kerana beliau bukan sahaja memperjuangkan hak rakyat tetapi menghiburkan rakyat, yang mungkin tidak ada di negeri lain.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata bukan itu sahaja Sarawak sebuah negeri unik kerana dapat hidup sebumbung dengan aman harmoni walaupun pelbagai kaum dan agama.

“ Kuching diiktiraf sebagai Bandar Raya Perpaduan disebabkan budaya dan perpaduan dalam kalangan warganya yang dapat hidup aman dan makmur. Perkara seperti ini harus dikukuh dan dipertahan,” katanya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/23/sejiwa-senada-berjaya-catat-1-5-juta-pengunjung/