Sebutan lanjut tiga tertuduh bunuh Bill Kayong pada 15 November

DITAHAN
LANJUT: Ketiga-tiga tertuduh (dua belakang dan baju hitam belakang) dieskot
keluar dari bangunan mahkamah menuju ke kenderaan polis untuk ditahan lanjut
di Penjara Pusat Lambir.

DITAHAN LANJUT: Ketiga-tiga tertuduh (dua belakang dan baju hitam belakang) dieskot keluar dari bangunan mahkamah menuju ke kenderaan polis untuk ditahan lanjut di Penjara Pusat Lambir.

MIRI: Mahkamah Majistret semalam menangguhkan sehingga 15 November depan untuk sebutan lanjut kes tiga lelaki yang dituduh membunuh pemimpin PKR Miri, Bill Kayong.

Penangguhan itu dibuat Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah yang memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes.

Terdahulu, beliau memberitahu mahkamah bahawa semua barang kes dan laporan diperlu untuk pendakwaan kes ini lengkap dengan laporan terakhir iaitu laporan kimia telah diterima pada 26 Oktober lalu.

Justeru kini hanya menunggu arahan lanjut daripada Pengarah Pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Mohamad Fitri Pauzi, 29, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Bill Kayong.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.20 pagi, 21 Jun lalu di persimpangan lampu isyarat berdekatan Pasaraya Emart (Tudan), Jalan Miri-Bintulu.

Manakala dua lagi tertuduh iaitu Lie Chang Loon, 37, dari Taman Pin Fook dan Chin Wui Chung, 50, dari Lorong 5 Krokop di sini masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun yang sama.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh bersubahat dengan Lee Chee Kiang, 44, dan seorang lagi yang masih bebas mengupah Mohamad Fitri Pauzi untuk membunuh Bill Kayong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama. Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/28/sebutan-lanjut-tiga-tertuduh-bunuh-bill-kayong-pada-15-november/