SEB sedia hadapi detik kritikal pilihan raya

Pusat operasi ditubuh pantau semua aktiviti berkaitan bekalan kuasa di seluruh negeri

// Oleh Clare Cinderella //

PANTAU: Lai (duduk tiga kanan) dan Lim (duduk dua kanan) serta para
pegawai dari kedua-dua belah pihak yang membincangkan mengenai perkara
tersebut di bilik mesyuarat MBM semalam, bergambar bersama, selepas sidang
media.

PANTAU: Lai (duduk tiga kanan) dan Lim (duduk dua kanan) serta para pegawai dari kedua-dua belah pihak yang membincangkan mengenai perkara tersebut di bilik mesyuarat MBM semalam, bergambar bersama, selepas sidang media.

MIRI: Sarawak Energy Berhad (SEB) sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi detik kritikal Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 ini pada 7 Mei kelak iaitu tarikh mengundi dan yang pastinya detik penjumlahan undi.

Naib Presiden Kanannya, Lau Kim Swee, berkata SEB sudah menubuh pusat operasi bertujuan memantau dan mengawasi semua aktiviti berkaitan bekalan kuasa di seluruh negeri sepanjang musim pilihan raya ini.

Beliau memberitahu SEB juga akan menempat jurutekniknya di lokasi atau stesen bekalan elektrik bagi memastikan ia berfungsi sepenuhnya menyalurkan bekalan elektrik terutama ketika berlangsungnya detik kritikal penjumlahan undi.

“Di beberapa tempat juga kita akan bersiap sedia dengan set janakuasa untuk menghadapi sebarang kemungkinan, jika berlakunya gangguan bekalan elektrik pada malam tersebut (semasa penjumlahan undi).

“Hakikatnya kami sudah bersedia untuk tujuan itu dan kita berdoa semoga tiada gangguan berlaku. Saya tidak dapat menjamin 100 peratus kerana kita tidak tahu apa akan berlaku tetapi kami akan melakukan yang terbaik bagi menghadapinya dan berdoalah semoga segalanya berjalan lancar,” jelas beliau.

Terdahulu beliau ditanya oleh pemberita mengenai langkah dan jaminan SEB menjelang detik mengundi dan penjumlahan undi pada 7 Mei ini, bagi memastikan insiden 2011 tidak berulang lagi.

Pada PRN Negeri 2011 yang lalu, beberapa kawasan di Miri telah mengalami putus bekalan elektrik termasuk pusat penjumlahan undi bagi kerusi Senadin di Stadium Tertutup di sini, yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN-SUPP, Datuk Lee Kim Shin dan calon PKR, Dr Michael Teo ketika itu, dengan Lee menang majoriti paling tipis, 58 undi sahaja.

Situasi tersebut juga telah mencetuskan keadaan huru-hara dengan penyokong parti lawan, PKR, meminta dan melaungkan kepada para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melakukan semula penjumlahan undi, kerana menganggap bekalan elektrik ‘senjaga’ diputuskan, untuk mengubah keputusan.

Bagi mengelak perkara seperti itu berulang pada PRN kali ini, SEB menurut Lau sudah bersedia sepenuhnya.

Terdahulu sebelum sidang media tersebut, Lau telah mengadakan perbincangan secara tertutup dengan Datuk Bandar, Lawrence Lai di bilik mesyuarat Majlis Bandaraya Miri (MBM) di sini, semalam, berhubung masalah gangguan bekalan elektrik yang kerap terjejas dan terputus di Miri, sejak kebelakangan ini.

“Antara faktor utama kekerapan gangguan sebelum ini ialah akibat cuaca panas yang melampau di Miri, menyebabkan permintaan terhadap bekalan kuasa meningkat mendadak melebihi kemampuan yang disalurkan.

“Sebagai langkah segera mengatasi masalah ini, pihak SEB telah memasang kabel Low Tension (LT) yang baharu bagi mengalihkan beban berlebihan tersebut,” jelasnya.

Lau berkata langkah seterusnya kelak ialah memasang alat pemantau jarak jauh di sub stesen bagi membolehkan pihaknya dimaklumkan jika ada tanda-tanda permintaan yang meningkat secara mendadak di sesebuah sub stesen.

Mengenai pelan pengukuhan lima tahun untuk Miri (2013-2018) yang dibincangkan bersama MBM, Lau berkata pelan tersebut sudahpun bermula dan ia melibatkan kerja-kerja menaik taraf dan pembinaan infrastruktur baharu yang dijangka siap pada 2018 melalui pelaburan lebih RM400 juta untuk meningkatkan kebolehpercayaan bekalan dan mengukuhkan rangkaian sistem kuasa untuk bandar raya ini.

“RM200 juta lagi akan diperuntukkan bagi meningkatkan sistem penghantaran dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Kita juga sedang membina talian transmisi kedua dari Similajau ke Lambir yang akan meningkat dan melancarkan lagi bekalan kuasa ke Miri. Talian ini sedang dibina dan dijangka siap menjelang 2020 kelak,” katanya.

Sejak 2009, SEB katanya telah menyiapkan kerja-kerja melibatkan penggantian kabel, talian dan transformer termasuk pembinaan pencawang baru di Marina Bay dan menaik taraf yang sedia ada di Taman Tunku. Kesemua projek ini melibatkan pelaburan berjumlah RM30 juta.

“Menjelang tahun 2018, kami yakin bahawa rangkaian sistem (bekalan elektrik) untuk Miri akan dipertingkatkan dan diperbaiki bagi menampung permintaan yang semakin tinggi dan bertambah di Miri, yang semakin pesat membangun,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengurus Komunikasi Korporat SEB, Ahadiah Zamhari; Pengurus Wilayah Miri, Choo Min Chong serta pegawai kedua-dua pihak dan ahli majlis.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/28/seb-sedia-hadapi-detik-kritikal-pilihan-raya/