Sarawak sediakan peta khas, taburan kes positif COVID-19

PETRA JAYA: Peta khas akan disediakan bagi meneliti taburan kes positif COVID-19 di dalam dua zon merah di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata peta itu perlu berikutan kawasan jangkitan di Kuching dan Kota Samarahan berselerak.

Beliau berkata, Kuching mencatat 285 kes positif setakat ini, manakala Kota Samarahan pula 77 tetapi kawasan yang mempunyai kes positif bertaburan di beberapa tempat.

“Peta itu nanti akan membolehkan kita merangka strategi memutuskan rantaian COVID-19 termasuk meneliti keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tertentu di dalam zon merah itu.

“Peta itu juga akan memudahkan orang ramai mengetahui kawasan berisiko, sekali gus menggalakkan mereka supaya mengelak kawasan terbabit,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) berkata, satu lagi kematian akibat COVID-19 direkodkan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian sejak 17 Mac ialah 16 orang.
“Kes kematian ke-16 adalah seorang wanita
Iban berumur 72 dari Lingga, Sri Aman yang mempunyai penyakit darah tinggi dan ketumbuhan dalam perut.

“Kes mengalami kesakitan pada bahagian
epigastrik, melaenic stool dan shortness of breath seminggu sebelum ini dan dirujuk dari Hospital Sri Aman ke Hospital Umum Sarawak pada 20 April,” katanya sambil memaklumkan mangsa disahkan meninggal dunia, pada jam 9.15 pagi tadi.

Katanya, mangsa tidak mempunyai sejarah terdedah kepada kes positif COVID-19, justeru punca jangkitan masih dalam siasatan.

Uggah berkata, 19 kes positif COVID-19 baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kini sebanyak 455 kes.

“Sebanyak 17 kes disahkan sembuh dan discaj dari hospital dengan 15 kes dari Hospital Umum Sarawak, satu kes di Hospital Sibu dan satu kes di hospital Miri,” katanya.

Beliau berkata, peniaga juadah berbuka dan sahur pada Ramadan ini dibenarkan membuka perniagaan di hadapan rumah masing-masing dengan hanya menyediakan juadah bungkus untuk dibawa balik.

“Semua hotel, restoran makanan segera dan restoran juga dibenarkan beroperasi tetapi ia juga hanya untuk juadah bungkus, manakala food truck adalah tidak dibenarkan beroperasi.

“Peniaga di rumah, hotel, restoran dan restoran makanan segera itu dibenarkan beroperasi mulai jam 3 petang untuk menjual juadah berbuka puasa, manakala sehingga jam 10 malam untuk juadah bersahur,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memaklumkan kelonggaran pada Ramadan itu kepada polis berikutan tempoh penguatkuasaan PKP adalah mulai jam 7 malam hingga 7 pagi.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/04/680481/sarawak-sediakan-peta-khas-taburan-kes-positif-covid-19