Sarawak, Sabah pertama terima bas bergerak saring penyakit tibi

MIRI: Dalam usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi perkhidmatan terbaik terutama membantu mengawal penularan penyakit Tuberkulosis (Tibi), dua Bas Perkhidmatan Saringan Tibi Bergerak pertama di Malaysia masing-masing disedia dan ditempat di Sarawak dan Sabah.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Malaysia Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, perkhidmatan bas itun berfungsi memberi saringan bergerak melalui ujian x-ray dada kepada penduduk tempatan berisiko tinggi bagi mengesan penyakit tibi.

“Kemudahan perkhidmatan ini untuk meningkat usaha mengesan kes tibi melalui x-ray, terutama kepada masyarakat tinggal di kawasan jauh daripada klinik kesihatan.

“Adakalanya, penyakit tibi sukar dikesan melalui kahak dan perkhidmatan x-ray bergerak membantu kita mengesan dengan cepat agar rawatan segera dapat diberikan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Kebangsaan 2016 dan perasmian Bas Perkhidmatan Saringan Tibi Bergerak anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, bertempat di Dewan Suarah Miri di sini semalam.

Majlis terbabit dirasmikan oleh Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak Datuk Dr Jerip Susil mewakili Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Hadir sama ialah Pengarah Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan dan tetamu kehormat lain.

Menurut Dr Lokman, perkhidmatan x-ray bergerak terbabit turut mengesan penyakit lain seperti kanser.

“Di Sarawak khususnya mereka jauh dari bandar, menyukarkan mereka untuk mendapatkan perkhidmatan x-ray secara terus atau perlu menunggu giliran pemeriksaan di klinik berdekatan.

“Melalui perkhidmatan pertama di Sarawak ini, ia akan mengurang kos perjalanan dan pembelanjaan pesakit untuk mendapatkan rawatan ke hospital atau klinik berhampiran,” ujarnya.

Jelas beliau, perkhidmatan berkenaan telah mula beroperasi dan dilaksanakan di Kuching dan akan diteruskan di kawasan bahagian Miri sehingga 1 April ini.

Sementara itu, Dr Zulkifli Jantan berkata, dengan adanya perkhidmatan tersebut lebih banyak golongan berisiko tinggi tibi dapat disaring di negeri ini.

“Pada tahun lepas, Sarawak merekodkan sejumlah 2,575 kes tibi, mencatatkan tujuh kes tibi dalam tempoh setiap hari dan merupakan antara masalah kesihatan awam di Sarawak.

“Apabila adanya perkhidmatan x-ray bergerak terbabit, kita dapat mengesan lebih banyak kes Tibi dikalangan mereka yang berisiko,” katanya.

Terdahulu, teks ucapan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dibacakan oleh Datuk Dr Jerip berkata, tanggungjawab mengesan dan merawat penyakit tibi bukanlah terletak terletak di bahu KKM sahaja, tetapi memerlukan peranan dan penglibatan pelbagai agensi termasuk masyarakat setempat.

“Semua pihak berperanan penting dalam memberikan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai bahaya penyakit tibi jika tidak dirawat segera.

“Mereka mempunyai tanda penyakit tibi perlu mendapatkan pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan dan hospital berhampiran untuk melakukan ujian saringan,” katanya.

Jelas Dr S. Subramaniam, bagi mengawal penularan Tibi, amat penting bagi pesakit mengambil ubatan mengikut jadual ditetapkan.

Secara umum katanya, pesakit tibi perlu mengambil ubat setiap hari selama sekurang-kurangnya enam bulan.

Di Malaysia, jumlah penyakit tibi dilapor sepanjang tahun 2015 sebanyak 24,220 kes dan 1,696 kes kematian akibat tibi pada tahun terbabit.

Sementara itu, antara aktiviti diadalah sempena sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Kebangsaan semalam ialah Berjalan 10,000 Langkah Sihat Tanpa Tibi, Pameran Kesihatan, Saringan Kesihatan, Pertandingan Mewarna Tahap 1 Sekolah Rendah dan Ceramah mengenai Penyakit Tibi oleh Pakar Perunding Kanan Perubatan Respiratori, Institusi Perubatan Respiratori Hospital Kuala Lumpur Profesor Dato Dr Abdul Razak Muttalif.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/03/26/sarawak-sabah-pertama-terima-bas-bergerak-saring-penyakit-tibi/