Sarawak mencatat kes curi kabel TM tertinggi

Catat 1,170 kecurian pada 2013, kebanyakan kes berlaku di Miri dengan kerugian sehingga RM3.58 juta

Oleh Clare Cinderella //

MIRI: Telekom Malaysia (TM) semalam mendedahkan Sarawak merekodkan kadar kecurian kabel TM paling tinggi dalam negara dengan kes kecurian sebanyak 1,170 pada 2013 sekali gus mencatat kecurian tertinggi dalam sejarah.

Pengurus Besar TM Negeri Sarawak, Sarbini Hamdan memberitahu walaupun 2014 mencatatkan penurunan sebanyak 27 peratus atau 771 kes, namun angka tersebut masih lagi tinggi.

Ini menyebabkab TM terpaksa bekerja keras dengan pihak polis dalam membanteras usaha kecurian kabel di negeri ini, jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Masyarakat bagi Kempen Pembanterasan Jenayah Kecurian Kabel TM dan Penyampaian Sijil Penghargaan Kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Miri, yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan di sini, semalam.

Jelasnya, bagaimanapun jumlah kecurian ini terus menunjukkan penurunan dan pada awal suku (empat bulan) pertama tahun ini, polis berjaya mengekangnya dengan penurunan kes sebanyak 53 peratus atau 93 kes (pada 2015), berbanding suku pertama tahun 2014.

Bagaimanapun menurut Sarbini, apa yang masih membimbangkan TM ialah kadar kecurian kabel di Miri semakin meningkat malah catat jumlah tertinggi di negeri ini.

Katanya, daripada 93 kes direkodkan berlaku di negeri ini sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini, Miri menyumbang kepada 30 peratus kes kecurian tersebut.

Kes kecurian kabel di Miri ini kebanyakannya berlaku di kawasan Lutong, Pujut, Tudan dan Senadin, dengan kekerapan yang berlaku ialah dua kes dalam seminggu pada bulan April, katanya.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Muda Komunikasi merangkap ADUN Senadin, Datuk Lee Kim Shin.

Dalam sidang media yang diadakan selepas majlis tersebut, Sarbini mengakui kebanyakan kes berlaku adalah kes berulang.

Sebagai contoh, apabila TM menerima aduan kerosakan kabel yang dicuri dan memperbaikinya, selepas dua hari atau sehingga seminggu kemudian, kabel yang sama akan dicuri lagi.

Ini kerap berlaku, kes berulang apabila setiap kabel yang dipasang semula akan dicuri lagi dan terus dicuri, yang bukan sahaja menyebabkan TM menanggung kerugian besar.

Malah ia menimbulkan kesukaran dan masalah kepada pengguna kerana kerap berdepan dengan gangguan perkhidmatan, tambahnya.

Beliau mendedahkan akibat kecurian tersebut, seluruh TM Negeri sepanjang tempoh tersebut telah menanggung kerugian sehingga RM3.

58j dengan kebanyakkan kes berlaku di Miri iaitu sebanyak 30 peratus.

Kejadian seumpama ini juga menyebabkan kenapa TM sukar untuk mempertingkatkan perkhidmatan dan memperluaskannya ke kawasan lain di sini khususunya di empat lokasi tersebut (Lutong, Pujut, Tudan dan Senadin) kerana kabel yang kerap kali dicuri, tambahnya.

Sehubungan itu, dalam sidang media yang sama, Lee menggesa agar sebuah jawatankuasa bertindak khas ditubuhkan bagi menangani isu tersebut, sekali gus membanteras jenayah curi kabel di sini.

Saya telah mencadangkan agar Pejabat Residen mengetuai jawatankuasa bertindak ini kelak dan mengumpulkan agensi berkaitan, ketua masyarakat dan Rukun Tetangga (RT) termasuk TM dan juga Sarawak Energy Berhad (SEB) yang turut berdepan risiko kecurian kabel ini.

Melalui jawatankuasa ini, saya mahu semua pihak berganding bahu, bersama-sama membanteras jenayah kecurian kabel ini yang bukan sahaja merugikan kedua-dua syarikat penyedia perkhidmatan terbabit (TM dan SEB) malah juga masyarakat setempat yang turut menerima impaknya, katanya.

Sehubungan itu Lee menggesa kerjasama daripada semua lapisan masyarakat, khususnya ketua kaum dan masyarakat, pengerusi RT, pengerusi Jawatankuasa Penduduk, supaya saling bekerjasama dengan pihak berkuasa membanteras jenayah dan pada masa yang sama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sehingga tertangkapnya penjenayah tersebut.

Kita bukan sahaja memerangi pemjenayah sahaja, tetapi pada masa yang sama memantau kedai besi buruk di sekitar Miri supaya tidak membeli kabel-kabel yang dicuri ini.

Jika tiada pembeli, maka tiada kecurian berlaku.

Kecurian ini berlaku kerana ada yang mahu membeli daripada pencuri ini, jelas Lee lagi.