Sarawak kekal destinasi pilihan pelabur asing

Negeri ini berada di kedudukan kedua sebagai destinasi pelaburan terpenting di Malaysia selepas Johor

// Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

PENGHARGAAN: Hirotaka (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Julaihi.

PENGHARGAAN: Hirotaka (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Julaihi.

SAMALAJU: Dalam persekitaran ekonomi mencabar, Sarawak tetap destinasi pelaburan menarik bagi pelabur asing dengan tempoh dua tahun lepas berada di kedudukan kedua sebagai destinasi pelaburan terpenting di Malaysia selepas Johor.

Sarawak menarik pelaburan sehingga RM9.6 bilion pada 2014 dan meningkat kepada RM11.8 bilion pada 2015 sekali gus memperlihatkan negeri ini terus menjadi destinasi pilihan pelabur.

Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Narawi berkata, kerajaan menyedia insentif perlu dan bantuan kemudahan pelaburan di negeri ini dengan harapan membuka peluang kepada penduduk tempatan terutama perusahaan kecil dan sederhana supaya berkembang.

“Pelabur dapat menikmati insentif cukai membabitkan Status Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan dan Elaun Pelaburan Semula yang ditawarkan oleh kerajaan persekutuan,” katanya pada Majlis Perasmian Pengeluaran Komersial Pertama Ferroalloys Sdn Bhd di Taman Perindustrian Samalaju semalam.

Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Kawasan Persisir) dan Perikanan itu mewakili Menteri Perindustrian dan Pembangunan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Turut hadir Kohei Nakamura daripada Kedutaan Jepun di Malaysia mewakili Duta Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa, Pengerusi Pertama Ferroalloys Sdn Bhd Hirotaka Suzuki, Yasushi Aoki (Nippon Steel & Sumitomo Metal Corporation) dan Pengurus Besar Pertama Ferroalloys Sdn Bhd Andrew Talling.

Katanya insentif persekutuan itu turut mendapat sokongan tambahan daripada kerajaan negeri bagi menyedia tanah, air dan bekalan elektrik dengan kadar kompetitif.

Beliau berkata, dengan penubuhan ASEAN Economic Community (AEC), Sarawak merupakan lokasi strategik sebagai pintu masuk dengan akses kepada penduduk dianggar berjumlah 625 juta orang.

“Keadaan ini memberi lebih peluang kepada pelabur. Dengan serta-merta Miri dan Tebedu mendapat manfaat daripada AEC ini masing-masingnya berdekatan Brunei dan Kalimantan, Indonesia.

“Saya memberi jaminan bahawa Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sarawak penuh komited melindungi dan menjaga keselamatan pelaburan asing negeri ini sekali gus mengalu-alukan pelabur membantu kami membangun Sarawak serta kekal bersama untuk tempoh lebih panjang,” katanya.

Menurutnya, Pertama Ferroalloys antara beberapa pelabur pertama melaksanakan projek bernilai AS$390 juta di Samalaju dan loji ferralloy pertama dibangun di Sarawak yang mengeluarkan bahan ferroalloy untuk kegunaan industri keluli.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Sarawak menandatangani `Framework Corporation Agreement’ pada 1 November lalu (2016) di China yang mencadangkan pengwujudan kompleks keluli dan besi di Samalaju yang mana pembangunannya pada masa kini berjalan baik bagi mewujudkan ekosistem lengkap untuk industri keluli berkembang di negeri ini.

Katanya Pertama Ferroalloy turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dengan sebahagian kakitangan teknikal bekerja dalam operasi di loji, pembabitan perniagaan tempatan yang membekal bahan mentah (cip kayu), operasi perkhidmatan logistik dan penghantaran barang, pengangkutan kakitangan, sokongan kakitangan dan pentadbiran serta perumahan kakitangan.

Dengan negeri ini memiliki sumber asli dan tanah yang luas namun mempunyai populasi kecil maka katanya, pembangunan sektor industri adalah jalan terbaik untuk ke hadapan di bawah inisiatif Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang memberi kelebihan besar potensi tenaga hidronya yang mampu menyediakan tenaga bersih dan kompetitif untuk industri negeri ini.

“Kestabilan politik dan dasar mesra perniagaan serta keharmonian penduduk di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak memberi keyakinan kepada pelabur domestik dan asing melabur di negeri ini,” katanya sambil menggesa enduduk tempatan merebut peluang diwujudkan kerajaan khususnya inisiatif di bawah SCORE.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/04/sarawak-kekal-destinasi-pilihan-pelabur-asing/