Sarawak catat 22,835 pencari kerja aktif

Seramai 8,745 daripada jumlah itu adalah terdiri daripada siswazah, kata August

// Oleh Connie Sylvia Mesa //

MIRI: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak sehingga Mac 2016 telah merekodkan sejumlah 22,835 pencari kerja aktif di negeri ini.

Pengarah JTK Sarawak Datu August Buma berkata, daripada jumlah terbabit, 8,745 orang adalah terdiri daripada golongan siswazah.

“Kita akan terus membantu pencari kerja termasuk golongan siswazah ini untuk mendapatkan pekerjaan sesuai seterusnya mengurangkan jumlah pengangguran di Sarawak.

“Pada masa sama juga, ia akan membantu industri di negeri ini dalam memenuhi keperluan tenaga kerja di syarikat mereka,” katanya.

Belaiu berkata demikian dalam teks ucapan dibaca Timbalannya Sulaiman Ismail dalam majlis perasmian Program Penempatan Pekerjaan (3P) Bahagian Miri anjuran JTS Sarawak Kementerian Sumber Manusia bertempat di Ruang Legar, Permy Mall Miri di sini semalam.

Majlis terbabit telah dirasmikan oleh penyandang kerusi Senadin merangkap Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senadin Datuk Lee Kim Shin.

Hadir sama ialah Penolong Kanan Pengarah Pejabat Tenaga Kerja Miri Anthony Lawai Lutang, Pengurus Kompleks Permy Mall Miri Thaddeus Sia, Pemangku Pegawai Daerah Miri Sarafiah Wan Kadir dan dif-dif kehormat yang lain.

Menurut August, sepanjang 2016 sehingga April ini, JTK Sarawak banyak terlibat dalam penganjuran 3P tersebut termasuk temu duga terbuka.

“Program seperti ini juga diadakan secara kerjasama pelbagai jabatan atau agensi lain termasuk kerajaan negeri Sarawak. Sebanyak 13 program bagi tujuan penempatan pekerjaan telah dianjurkan termasuk program pada hari ini (semalam),” katanya.

Jelas beliau, hasrat kerajaan menyasarkan untuk melahirkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2020.

“Kementerian Sumber Manusia di bawah Jabatan Tenaga Manusia bukan hanya bertanggungjawab menyediakan platform untuk pencari kerja, tetapi turut memberi peluang untuk melatih modal insan yang berkemahiran,” tambahnya.

Sementara itu, Lee dalam ucapan perasmiannya memberitahu program terbabit membuka peluang kepada mereka yang ingin mencari peluang pekerjaan khasnya para graduan dan lepasan sekolah.

“Melalui program ini, mereka yang mahu menukar kerja dengan mencari kemahiran baharu yang lain juga digalakkan,” katanya.

Jelas Lee, pengisian kerja kosong yang disediakan terbabit bermakna Miri semakin berkembang pesat dan peluang pekerjaan terbuka luas untuk rakyatnya.

Program 3P diadakan selama dua hari itu menyediakan sejumlah 850 jawatan kosong daripada 20 buah syarikat dan hotel yang terlibat sama.

Antara aktiviti lain turut disediakan ialah pendaftaran pekerjaan secara talian (JobsMalaysia), temu duga terbuka, pameran kerjaya, semakan e-Kasih, khidmat nasihat perburuhan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/23/sarawak-catat-22835-pencari-kerja-aktif/