Sarawak belanja besar bangunkan kemudahan sukan

MIRI: Setiap daerah di seluruh Sarawak akan memiliki kompleks sukan yang dilengkapi stadium, manakala semua daerah kecil pula akan dibina gelanggang sukan atau stadium mini bagi meningkatkan keupayaan mencungkil bakat jaguh sukan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, peruntukan untuk membina kemudahan sukan itu sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Beliau berkata, bagi daerah yang sudah memiliki kompleks sukan, kerja menaik taraf akan dilaksanakan bagi memastikan ia bersesuaian dengan kemudahan sukan ketika ini.

“Kerajaan Sarawak serius membangunkan sukan dan mencungkil bakat muda untuk mewakili negeri dan negara hingga ke peringkat Olimpik seperti yang sudah dibuktikan beberapa anak Sarawak yang berjaya mengharumkan nama Malaysia sebelum ini.

“Sebab itu kerajaan Sarawak membuat pelaburan besar untuk membina kemudahan sukan itu,” katanya kepada media selepas merasmikan temasya Sukan Sarawak Ke-2 (SUKSAR 2) di Stadium Tertutup, di sini, lewat petang, semalam.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah peruntukkan itu, namun menjelaskan demi memartabatkan sukan dan menjadikan Sarawak sebagai kuasa sukan negara, kerajaan sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar.

Mengenai pembangunan sukan berbasikal, Abang Johari berkata, Kementerian Belia dan Sukan Sarawak sudah meninjau velodrom di New Zealand dan akan mengadaptasikan kemudahan itu di negeri ini.

“Walaupun penduduk New Zealand kecil, tetapi memiliki velodrom terbaik dan mereka berjaya melahirkan pelumba terbaik dunia. Ini yang kita mahu contohi,” katanya.

SUKSAR 2 yang bermula semalam hingga Jumaat ini menjadi medan untuk menguji atlet yang akan mewakili Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor, tahun depan.

Seramai 1,500 atlet dan pegawai dari empat zon di Sarawak iaitu Zon Utara (Miri, Limbang, Bintulu), Zon Tengah (Sibu, Mukah, Kapit), Zon Barat (Sarikei, Betong, Sri Aman) dan Zon Selatan (Kuching, Serian, Samarahan) menyertai temasya dwi-tahunan itu yang bermula dua tahun lalu.

Sebanyak 16 acara dipertandingkan iaitu olahraga, memanah, renang, badminton, berbasikal, bola keranjang, bola tampar, hoki, petanque, rugbi, sepak takraw, silat, skuasy, tinju, angkat berat dan e-Sport.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/12/637112/sarawak-belanja-besar-bangunkan-kemudahan-sukan