Sampah bertaburan selepas perarakan

JEJAS
PEMANDANGAN: Sampah ditinggalkan sepanjang jalan sekitar Miri selepas
perarakan pada Sabtu lalu.

JEJAS PEMANDANGAN: Sampah ditinggalkan sepanjang jalan sekitar Miri selepas perarakan pada Sabtu lalu.

MIRI:Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai semalam melahirkan rasa kesal dengan sikap sesetengah penganjur tidak bertanggungjawab membersihkan kawasan diguna selepas menganjur sesuatu acara.

Jelasnya, masyarakat setempat sama ada badan kerajaan atau swasta dialu-alukan menganjur pelbagai program di sini, tetapi turut memerlukan kerjasama pihak terbabit dari segi kebersihan.

“Kami mengalu-alukan semua badan kerajaan mahupun bukan kerajaan serta masyarakat setempat menganjurkan pelbagai program dan sambutan di sini.

“Tidak kira sama ada ia kebudayaan, agama atau pendidikan kerana acara terbabit sebahagian daripada usaha mempromosi Miri sebagai bandar raya peranginan,” katanya.

Namun pada sama MBM turut mengingatkan penganjur agar bekerjasama menjaga kebersihan iaitu membersih kawasan mereka gunakan selepas sesuatu program atau acara,” jelasnya.

Menurut Lai, pihak penganjur turut bertanggungjawab menasihati peserta terlibat agar tidak membuang sampah di merata tempat dan menjaga kebersihan sekitar.

Sabtu lalu, sebuah tokong di sini mengadakan perarakan yang turut disertai sekitar 11 negara, telah mengakibatkan beberapa jalan Miri bersepah dengan sampah dan MBM telah menerima aduan daripada orang awam berhubung perkara terbabit.

“Sikap tersebut memberi imej buruk Miri kepada pelancong luar terutama mereka yang datang ke Miri menyaksikan Festival Borneo Jazz 2016 dan daripada pelancong yang menyertai perarakan itu sendiri,” katanya.

Jelas Lai, beliau mengarahkan Bahagian Penyelenggaraan Kebersihan Awam MBM untuk segera membersihkan jalan yang bersepah dengan sampah terbabit bagi mengelak Miri mendapat imej buruk daripada pelancong.

“Ia telah menyebabkan pertambahan kos tidak diperlukan MBM kerana terpaksa meluaskan perkhidmatan dan melakukan pembersihan tambahan,” katanya dengan nada kesal.

Lai turut berharap agar warga Miri dapat bekerjasama dalam usaha memastikan Miri bandar paling bersih di Sarawak.

“Saya juga mahu berterima kasih kepada pihak yang telah memainkan peranan mereka untuk mencapai ke arah matlamat terbabit,” tambahnya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/15/sampah-bertaburan-selepas-perarakan/