Saksi kejadian langgar lari ragut nyawa warga emas diminta tampil

MIRI: Polis Trafik Miri meminta orang ramai yang ternampak kejadian langgar lari sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas tampil membantu siasatan polis.

Kejadian berlaku sekitar jam 5.50 petang, 1 Januari lalu di KM17 Bukit Song, Jalan Miri-Bintulu.

Manakala, lelaki warga emas yang maut dalam kejadian itu dikenali sebagai Blikau Buda, 78, dari Rumah Min, Bukit Song, Jalan Miri-Bintulu.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Khoo Leng Huat memberitahu dalam kejadian itu, seorang pejalan kaki dipercayai telah dilanggar lari oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku berpunca daripada pejalan kaki yang sedang melintas jalan dan dipercayai dilanggar oleh kenderaan terbabit.

“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sehingga menyebabkan tempurung kepalanya pecah dan mangsa meninggal di tempat kejadian,” katanya.

Mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Miri menggunakan kenderaan polis.

Sehubungan itu, Khoo merayu kepada orang awam yang ternampak kemalangan tersebut supaya tampil memberi keterangan bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kes yang dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2017/01/05/saksi-kejadian-langgar-lari-ragut-nyawa-warga-emas-diminta-tampil/