Rompak pasar raya, PGA antara dicekup

MIRI: Polis Miri berjaya menyelesaikan kes rompakan wang tunai hampir setengah juta ringgit milik sebuah pasar raya di sini dengan penangkapan empat suspek termasuk seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam tempoh masa 48 jam selepas kejadian berlaku.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Gan Tian Kee berkata keempat-empat suspek terbabit terdiri daripada tiga pengawal keselamatan termasuk seorang pemandu serta seorang anggota PGA berpangkat koperal.

Berikutan tangkapan itu katanya, polis berjaya menemui semula wang tunai berjumlah RM378,587.00 daripada anggota PGA terbabit.

Kita percaya kes ini selesai dengan penangkapan keempat-empat suspek terbabit dan merampas semula sebahagian besar wang rompakan dua hari lalu.

Syabas saya ucapan kepada anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri kerana berjaya menyelesai kes ini dalam tempoh masa singkat, 48 jam selepas kejadian dilaporkan berlaku, katanya pada sidang media di sini petang semalam.

Hadir sama pada sidang media itu ialah timbalannya, Superintenden Stanley Jonathan Ringgit, Ketua BSJD Miri DSP Nixon Joshua Ali serta anggota polis yang lain.

Dalam pada itu menurut Gan, tiga pengawal keselamatan masing-masingnya berusia 37, 53 dan 55 tahun telah ditangkap petang kelmarin kerana disyaki terlibat sama.

Manakala suspek keempat berusia 34 tahun ditangkap hasil serbuan polis ke sebuah rumah terletak di Jalan Taman Tunku di sini awal pagi semalam.

Terdahulu menurut Gan, bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 1 pagi semalam, sepasukan polis mengadakan Ops Rentap dan menemui sebuah motosikal jenis skuter dipercayai diguna dalam kes samun di sebuah kawasan semak di belakang sebuah rumah terbiar di MDL Garden di sini.

Hasil pemeriksaan mendapati motosikal itu telah didaftar atas nama suspek keempat.

Berikutan itu kata Gan, sekitar jam 4.55 pagi semalam, sepasukan polis diketuai Inspektor Nasrul Hadi Jahat pergi ke rumah suspek terletak di Jalan Taman Tunku.

Semasa tangkapan dibuat katanya, polis turut menjumpai wang tunai berjumlah RM378,587.00 yang disimpan dalam sebuah beg Mega Polo dibaluti dengan kain tuala warna biru.

Turut dijumpai sebuah topi keledar warna putih kuning berserta pelindung muka, satu set kunci, enam keping resit pembelian perabot berjumlah RM13,000, dua buah kaca mata jenama Ray Ban dan satu unit telefon bimbit jenama Asus berserta kad sim,katanya.

Menurut Gan, polis akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui masih ada suspek lain terlibat serta mengesan baki wang melebihi RM100,00 masih belum dijumpai serta hubungan keempat-empat suspek terbabit, katamya.

Menurutnya, semua suspek kini telah direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian berlaku sekitar jam 11.50 pagi, 5 Mei lalu, sejumlah RM478,619.30 milik sebuah pasar raya di sini telah dirompak seorang lelaki yang bersenjata senapang patah.

Ketika kejadian, wang itu merupakan hasil kutipan perniagaan selama empat hari sedang dibawa oleh dua pengawal keselamatan untuk dimasukkan ke sebuah bank di sini.