RM3.5 juta baiki jalan Jambatan Asean

MIRI: Sebanyak RM3.5 juta diperuntukkan untuk kerja pembaikan jalan raya sepanjang 2.8 kilometer dari Jambatan Asean menuju ke lampu isyarat berdekatan kawasan Perindustrian Kuala Baram, di sini.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, berkata situasi jalan raya berkenaan sekarang tidak rata, berlekuk dan berlubang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin berkata, jalan raya itu yang dibina sejak 2003 turut menimbulkan ketidakselesaan orang awam.

“Kerja menaik taraf perlu dilakukan kerana ia adalah laluan utama pelancong dari Brunei serta Sabah untuk datang ke Sarawak,” katanya ketika meninjau projek itu di sini, hari ini.

Kim Shin berkata, kerja membaik pulih jalan raya itu dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan akan mengambil sebulan untuk disiapkan.

“Apabila siap nanti, projek ini akan melancarkan lagi aliran lalu lintas pintu sempadan Sarawak-Brunei,” katanya.

Selain projek itu, katanya, kerja menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujoh juga sedang dilaksanakan.

"Projek ini dijangka siap dalam tempoh tiga bulan agar aliran lalu lintas menjadi lebih baik untuk orang ramai.

“Kerja menaik taraf CIQ itu dijangka siap menjelang Tahun Baru Cina,” katanya.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/12/633934/rm35-juta-baiki-jalan-jambatan-asean

© Copyright 2006-2018 MiriCommunity.net · A JacksonLiaw.com project.