RM270j naik taraf jalan balak, jambatan Long Lama

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan projek menaik taraf Jalan Ulu Baram-Miri pada majlis bersama RELA di Long Lama hari ini. – Foto BERNAMA

MIRI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan peruntukan berjumlah RM270 juta bagi menaik taraf jalan balak dan kos tambahan membina Jambatan Long Lama, merintangi sungai kedua terpanjang di Sarawak.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, daripada jumlah itu RM200 juta adalah bagi kegunaan menaiktaraf jalan balak, selebihnya bagi membina jambatan di pekan paling terpencil di utara Sarawak.

Beliau berkata, peruntukan itu bakal memberi manfaat kepada ramai penduduk kampung yang menetap luar bandar di Sarawak.

“Jika penduduk Sarawak memilih calon parti pembangkang mereka tidak akan mendapat sebarang habuan, melainkan janji kosong.

“Kerajaan sudah tekad membantu penduduk luar bandar termasuk di DUN Telang Usan,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama RELA dan Pelancaran Projek Menaik Taraf Jalan Balak di Dewan Masyarakat Long Lama di sini, hari ini.

Yang turut hadir calon Barisan Nasional (BN) Telang Usan, Dennis Ngau dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) RELA, Kamaruddin Mohd Rapig.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga berjanji akan menjaga kebajikan anggota RELA di Sarawak.

Katanya, ada seramai 341,000 anggota RELA di Sarawak, yang mana mereka sentiasa menyokong BN.

“Justeru, saya akan memastikan kebajikan RELA di Sarawak, termasuk Telang Usan dan Baram akan dijaga dengan baik,” katanya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/29/rm270j-naik-taraf-jalan-balak-jambatan-long-lama/