RM135j bina jambatan Long Lama

Oleh Mohd Achil Norrlatep //

Kos tinggi kerana sungai besar, bahan binaan diangkut dari Miri: Manyin

MIRI: Pembinaan jambatan Long Lama dianggarkan menelan belanja sekitar RM135 juta dan memerlukan kelulusan kabinet, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Micheal Manyin Jawong.

Katanya, projek itu memerlukan belanja besar memandangkan keadaan sungai yang lebar dan bahan pembinaan terpaksa diangkut dari Miri.

Kos dianggar konsultan sebanyak RM135 juta termasuk pembinaan jambatan serta jalan raya, katanya ketika lawatannya ke tapak cadangan pembinaan jambatan Long Lama semalam.

Menurutnya, bajet membina jambatan dan jalan penghubung berkenaan memerlukan dana serta kelulusan sama ada kerajaan pusat atau negeri.

Bagaimanapun, ia hanya kos merangkumi pembinaan jambatan serta jalan raya, manakala perkara berkaitan pampasan akan diuruskan pihak kerajaan negeri.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau yang turut hadir pada lawatan sama memberitahu penduduk Baram meletakkan harapan besar ke atas pembinaan jambatan berkenaan.

Seramai lebih 20,000 penduduk Baram bakal mendapat manfaat daripada pembinaan jambatan Long Lama ini nanti dan saya percaya mereka meletakkan harapan besar terhadap hal ini, jelas Dennis.

Mengenai subsidi pengangkutan feri yang masih digunakan ketika ini, Manyin memberitahu, perkara itu akan turut dibawa ke kabinet.

Kita akan bawa perkara ini kepada kabinet kerana melibatkan perbelanjaan daripada kerajaan negeri yang tinggi, jelasnya.

Ketika ini, kerajaan katanya membelanja sekitar RM60 juta setahun untuk subsidi pengangkutan feri di seluruh Sarawak.

Kita sudah terima petisyen mengenai hal ini, akan tetapi ia melibatkan wang kerajaan dan kita akan bawa berbincang ke kabinet, jelas Manyin lagi.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/03/20/rm135j-bina-jambatan-long-lama/