RM132,000 peruntukan MRP diagih kepada NGO di Telang Usan

MIRI: Sejumlah RM132,000 peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) telah diagihkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam.

Ia disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau pada majlis ringkas di sini, semalam.

Antara yang menerima bantuan itu ialah 17 Unit Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Telang Usan berjumlah RM86,000, Jawatankuasa Gereja Long Wat, Apoh (RM10,000) dan JKKK Lon Selatong Tanjong Tepalit (RM10,000).

Turut menerima ialah PIBG Long Lellang (RM10,000), JKKK Long Apu (RM10,000), Bahagian Wanita Long Apu (RM5,000) dan RELA Baram (RM6,000).

Terduhulu itu, dalam ucapannya Dennis berkata penerima MRP dinasihati menggunakan bantuan itu untuk menjalankan aktiviti dan bukannya digunakan untuk tujuan peribadi atau individu.

“Kerajaan menyalurkan bantuan itu supaya persatuan atau pertubuhan dapat menganjurkan aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada penduduk dan tidak harus disalahgunakan,” katanya.

Menurutnya, MRP adalah peruntukan diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk dikongsi bersama bukannya hak individu bagi membolehkan mereka menjalankan pelbagai aktiviti.

“Kita tidak mahu apabila peruntukan disalurkan kepada mereka tiada laporan sebarang aktiviti atau projek kecil dilaksanakan meskipun wang telah disalurkan untuk tujuan berkenaan,” jelasnya.

Justeru, penerima MRP harus merancang dan melaksanakan projek kecil bagi memastikan wang disalurkan kerajaan benar-benar dimanfaatkan rakyat.

Dennis berkata kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat dan menyalurkan bantuan sewajarnya bagi membolehkan rakyat bergiat aktif dalam kegiatan berpersatuan atau kelab.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/02/16/rm132000-peruntukan-mrp-diagih-kepada-ngo-di-telang-usan/