RM11j baiki sekolah, klinik


(bharian.com.my) #1

BINTULU: Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan berjumlah RM11 juta bagi membaiki sekolah dan klinik kesihatan yang terjejas teruk akibat banjir, baru-baru ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata RM10.5 juta daripada peruntukan itu akan digunakan untuk memperbaiki kerosakan 173 buah sekolah.

Selebihnya, akan digunakan bagi memperbaiki dua klinik kesihatan dalam Daerah Tatau iaitu Klinik Nanga Tau dan Klinik Nanga Sangan.

"Sekolah di Bahagian Sibu paling banyak terjejas iaitu sebanyak 40 sekolah, kebanyakannya dalam daerah Selangau.

“Ini diikuti sekolah di Bahagian Limbang dan Mukah dengan masing-masing mencatatkan 28 sekolah rosak. Bahagian lain adalah di Miri dan Bintulu, masing-masing 22 sekolah, Kota Samarahan (14), Serian (9), Sarikei (3) serta Kapit dan Betong, masing-masing dua sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir Dewan Sukan Tatau, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun.

Mengenai lima sekolah di negeri ini yang kerap dinaiki air, Abang Johari berkata, beliau sudah mengarahkan Pejabat Residen serta Jabatan Tanah dan Survei mencari tapak sekolah sesuai yang lebih tinggi dan selamat bagi membina bangunan baharu.

“Peruntukan bagi pembinaan bangunan sekolah baharu itu nanti akan dimasukkan bersama dalam projek memperbaiki sekolah yang terjejas teruk akibat banjir, baru-baru ini,” katanya.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/02/387865/rm11j-baiki-sekolah-klinik