RM1.3 juta dana bina benteng pemecah ombak Kuala Baram

RASMI: Ahmad Zahid menurunkan tandatangan pada plak sebagai simbolik
perasmian Dewan Masyarakat Kampung Batu 1, Kuala Baram di Miri semalam.

RASMI: Ahmad Zahid menurunkan tandatangan pada plak sebagai simbolik perasmian Dewan Masyarakat Kampung Batu 1, Kuala Baram di Miri semalam.

MIRI: Penduduk di kawasan Senadin semalam mendapat durian runtuh apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluluskan projek bernilai lebih RM1.3 juta petang semalam.

Berucap di hadapan hampir 1,000 penduduk kampung dan anggota RELA kawasan Senadin yang hadir pada majlis perasmian Dewan Masyarakat Kampung Batu 1, Kuala Baram dan Majlis Perjumpaan Bersama RELA, Ahmad Zahid meluluskan peruntukan berjumlah RM1 juta membina benteng pemecah ombak di Kuala Baram bertujuan memudahkan nelayan pinggir pantai khususnya nelayan bot kecil.

Menurut Ahmad Zahid kelulusan itu disegerakan kerana beliau amat memahami keperluan golongan nelayan khususnya nelayan bot kecil, memandangkan beliau berasal dari kawasan perkampungan nelayan Bagan Datoh, Perak.

Ahmad Zahid turut mengumumkan satu lagi berita baik untuk nelayan di sini, apabila meluluskan kebenaran menangkap bubuk menggunakan kaedah diguna pakai oleh nelayan sebelum ini, yang pengunaannya dilarang oleh Jabatan Perikanan.

Bagaimanapun kelonggaran itu hanya untuk tempoh sebulan sahaja sepanjang musim bubuk.

Dalam pada itu, beliau juga turut mengumumkan kelulusan pembinaan masjid di Senadin dan surau di Kampung Batu 1, Kuala Baram.

Bagaimanapun jumlah kedua-duanya tidak dinyatakan kerana kos pembinaannya perlu diteliti terlebih dahulu.

“Untuk projek masjid dan surau ini teliti dahulu berapa jumlah kosnya dan saya akan luluskan,” katanya.

Bagi projek pembinaan dan menaik taraf Surau An Naim, Lutong, Ahmad Zahid meluluskan peruntukan berjumlah RM300,000.

Dalam ucapannya juga Ahmad Zahid amat berterima kasih kepada pasukan RELA di sini, yang sanggup hadir meskipun dalam keadaan berpanas dan melakukan banyak tugasan sepanjang kempen pilihan raya ini, walaupun hanya menerima elaun sahaja.

Pada majlis sama , beliau turut menyerahkan pakaian seragam digital RELA kepada anggota, selain menyampaikan sumbangan bakti RELA berupa kerusi roda kepada seorang anggota RELA yang kurang keupayaan.

Hadir sama pada majlis tersebut semalam ialah Ketua Pengarah RELA, Datuk Kamariah Mohd Noah serta Residen Bahagian Miri, Antonio Khati Galis.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/07/rm1-3-juta-dana-bina-benteng-pemecah-ombak-kuala-baram/