RM1.2 juta dana bantu pendidikan anak Penan

MIRI: Persatuan Pembangunan Tipun Penan (PETIPUN) mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta untuk membangunkan pendidikan etnik itu di negeri ini.

Presiden PETIPUN, Temenggung Datuk Hasan Sui berkata, peruntukan itu diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tambahan peruntukan diumumkan pada Mei lalu berjumlah RM200,000.

“Peruntukan tambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan ialah RM1.2 juta. Kita akan memikirkan cara terbaik memastikan dana ini dapat memajukan taraf pendidikan kaum Penan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Bantuan Pendidikan untuk Pelajar-pelajar Penan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan di Luak semalam.

Hasan menjelaskan, pihaknya komited mencari dana membiayai pendidikan anak-anak Penan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

“Kita sedar hanya melalui pendidikan anak-anak Penan dapat bersaing dan mengubah masa depan lebih baik,” katanya berucap.

Seramai 12 pelajar Penan mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Bahasa Melayu (SK) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak Miri menerima wang bantuan sebanyak RM500 seorang.

Turut mendapat bantuan PETIPUN ialah lapan pelajar kini menuntut uar Miri manakala tiga pelajar tidak layak menerima dana berkenaan turut mendapat sumbangan peribadi daripada Hasan.

Hadir sama ADUN Telang Usan, Dennis Ngau dan Timbalan Pengarah IPG Kampus Sarawak Miri, Gumbang Pura.

Hasan menambah, sejak ditubuh enam tahun lalu PETIPUN berjaya membantu 85 graduan Penan dalam pelbagai bidang iaitu ijazah sarjana (4) ijazah (48), diploma (29) dan praperdagangan (3).

Terdahulu Dennis dalam ucapannya berharap bantuan tersebut membantu membakar semangat anak-anak Penan untuk mengubah masa depan.

“Generasi muda Penan harus mengubah minda dan menerima pembaharuan agar mereka tidak terus ketinggalan.

“Jadi kejayaan kaum Penan lain seperti Datuk Hasan Sui sebagai pembakar semangat mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau yakin, kaum Penan melalui komitmen dan usaha berterusan dapat maju seperti kaum lain di negeri ini.

Dennis dalam pada itu turut menolak anggapan sesetengah pihak yang menyifatkan Penan umpama ‘anak emas’ kerajaan.

“Berbanding kaum lain, kaum Penan masih ketinggalan dan ini memerlukan usaha yang lebih daripada kerajaan untuk membantu mereka.

“ Namun ini tidak bermakna kaum lain diabaikan sebaliknya kerajaan sentiasa menjaga kepentingan semua kaum,” katanya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/07/30/rm1-2-juta-dana-bantu-pendidikan-anak-penan/