RM1,000 menunggu pemenang reka cipta poster KKTKBP

MIRI: Hadiah wang tunai RM1,000 menanti juara pertandingan mereka cipta poster Kempen ‘Katakan Tidak Kepada Beg Plastik (KKTKBP) 3.0’ anjuran Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Datuk Bandar, Lawrence Lai memberitahu, poster terbaik akan dijadikan logo untuk beg mesra alam MBM sempena pelancaran kempen tersebut pada Mei.

“Kempen terbuka kepada semua termasuk warga asing kerana ini merupakan kempen alam sekitar yang memanfaatkan semua, “ jelas beliau selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pertandingan yang diadakan di MBM semalam.

Peserta diberi tempoh sebulan untuk menyiapkan poster sebelum tarikh tutup pertandingan pada 9 Mei.

Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori pelajar berusia 18 tahun ke bawah dan kategori awam.

Pemenang setiap kategori akan menerima hadiah sama. Pemenang kedua dan ketiga masing-masing menerima RM700 dan RM500 manakala hadiah sagu hati berjumlah RM200 untuk lima peserta.

“Antara tujuan utama kita menganjurkan pertandingan ini ialah untuk meningkatkan kesedaran awam dan pelajar tentang bahaya penggunaan beg plastik kepada alam sekitar serta menggalakkan penduduk menggunakan beg mesra alam,” jelas beliau.

Kempen kali ini turut mendapat kerjasama Kelab Kejuruteraan Alam Sekitar Universiti Curtin Sarawak dan Pustaka Negeri Sarawak Miri.

Pihak hakim akan memilih satu sahaja poster dari juara kategori pelajar dan awam sebagai logo rasmi kempen.

Pemenang akan diumumkan semasa pelancaran kempen yang juga diadakan semasa pelancaran Karnival Sarawakiana di pentas terbuka Dataran Kipas Miri pada 21 Mei.

Borang penyertaan boleh diperoleh di Pejabat Perhubungan Awam MBM bermula hari Isnin minggu depan (11 April).

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/09/rm1000-menunggu-pemenang-reka-cipta-poster-kktkbp/