Remaja 17 tahun hadapi tiga tuduhan merogol

MIRI: Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan merogol seorang gadis bawah umur.

Juvana terbabit, 17, dari Batu Niah telah didakwa atas tiga tuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dari 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan tuduhan pertama, juvana terbabit telah dituduh merogol seorang gadis bawah umur berusia 14 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 12.30 pagi hingga 2 pagi, 17 Januari lalu di sebuah rumah kebun tidak bernombor di Sekaloh Bajing, Batu Niah.

Manakala dalam tuduhan kedua dan ketiga, juvana menerima pendakwaan merogol mangsa yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakunya masing-masing antara jam 12.30 pagi hingga 2 pagi pada 18 Januari lalu dan antara jam 12.30 pagi hingga 2 pagi, 20 Januari lalu di rumah kebun sama.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan salah direkodkan dan mahkamah kemudian menetapkan 3 Mac depan untuk sebutan lanjut kes.

Juvana ini dibenar bebas dengan jaminan RM2,000 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/02/27/remaja-17-tahun-hadapi-tiga-tuduhan-merogol/