Rebut peluang mohon skim pinjaman rumah panjang

SUMBANGAN KERAJAAN: Harden (enam kiri) menyampaikan sumbangan kerajaan kepada Biro Wanita Rumah Panjang berkenaan sambil diperhatikan Kelvin (lima kiri), Achon (lima kanan), Jilin (belakang Kelvin) serta yang lain.

SUMBANGAN KERAJAAN: Harden (enam kiri) menyampaikan sumbangan kerajaan kepada Biro Wanita Rumah Panjang berkenaan sambil diperhatikan Kelvin (lima kiri), Achon (lima kanan), Jilin (belakang Kelvin) serta yang lain.

SRI AMAN: Perbadanan Perumahan Negeri Sarawak (HDC) telah memperkenal satu lagi skim pinjaman perumahan iaitu Skim Pinjaman Rumah Panjang Mesra Rakyat sejak tahun lalu.

Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis bagaimanapun berkata, pinjaman itu boleh dibuat secara bertulis atau datang sendiri ke pejabat HDC di Kuching untuk permohonan selanjutnya.

Menurutnya, permohonan pinjaman ini adalah terbuka kepada mana-mana rumah panjang yang berminat di negeri ini, termasuk pelan rumah panjang akan disediakan oleh pihak HDC sendiri.

“Bukan setakat itu sahaja, rumah panjang akan dibangunkan ini juga setingkat manakala jumlah bilik dalam sebuah rumah panjang tersebut adalah terpulang kepada pemilik rumah tersebut.

“Bangunan rumah panjang juga akan dibangunkan secara tender oleh pemaju yang dilantik oleh HDC di mana pinjaman ini maksimum berjumlah antara RM75,000 hingga RM 80,000,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap pada Program Walkabout @ Bebitau 2016 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sri Aman di Rumah Achon, Menalang A, Sri Aman dekat sini, kelmarin.

Bagaimanapun Harden menjelaskan, kerajaan memberi subsidi sebanyak RM25,000 dan peminjam hanya membayar balik pinjaman sebanyak RM50,000 untuk tempoh 25 tahun.

“Justeru, saya menggesa rumah panjang yang berminat supaya membuat permohonan segera dan kami akan menghantar pegawai kementerian untuk memberi penerangan lanjut berkenaan pinjaman ini.

“Tapi sebelum membuat permohonan, penduduk terlibat perlu menyukat tanah untuk tapak rumah panjang dan dikemuka kepada Jabatan Tanah dan Survei untuk mendapatkan ‘land title’ terlebih dahulu,” jelasnya.

Tambahnya, Rumah Collin di Bakong Miri merupakan projek perintis untuk skim ini dan pelancaran telah diadakan pada tahun lalu.

“Justeru, saya sekali lagi memohon kepada rumah panjang yang berminat agar tidak melepaskan peluang untuk memohon pinjaman ini,” katanya.

Turut hadir Pegawai Kanan Bomba Sri Aman Jilin Itar, Pembantu Pembangunan Masyarakat di Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sri Aman Kelvin Lambai, Kaunselor Andar Suntai serta yang lain.

Pada majlis berkenaan, Harden turut menyampaikan geran berjumlah RM3,000 kepada JKKK dan Biro Wanita rumah panjang berkenaan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/03/12/rebut-peluang-mohon-skim-pinjaman-rumah-panjang/