Rampas rokok, minuman keras seludup bernilai RM4.6 juta

BINTULU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Bintulu dan Miri merampas 5.38 juta batang rokok dan 3,890. 88 liter minuman keras pelbagai jenama, bernilai RM4.6 juta dalam serbuan yang dijalankan ke atas sebuah gudang usang di Jalan Sungai Nyigu sekitar jam 11 pagi Khamis.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, berkata serbuan yang turut disertai Cawangan Risikan Kuching itu menemui sebuah kontena, sepanjang 20 kaki dan sebuah lori lock van yang mengandungi bahan seludup berkenaan.

“Modus operandi digunakan dalam kegiatan penyeludupan ini ialah gudang usang tanpa nama itu dijadikan lokasi penyimpanan rokok dan minuman keras bagi mengaburi mata pihak penguatkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua barangan rampasan akan dibawa ke pejabat penguatkuasaan JKDM Bintulu untuk tindakan selanjutnya.

Sharifah berkata, ketika serbuan dijalankan tiada individu berada dalam gudang terbabit.

“Kita tidak menolak kemungkinan bahawa pemilik atau penjaga gudang berjaya lari meloloskan diri apabila menyedari kawasan terbabit diserbu,” katanya.

Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang tidak lulus kastam yang mana jika disabit salah, pemiliknya boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar serta tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam Kastam iaitu RM500, 000.

Pesalah juga berhadapan dengan hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut menyeru orang awam bagi menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun, dadah ataupun senjata api dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, melayari laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran di
semua negeri.

“Kita (JKDM) juga memberikan jaminan identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan,” tambahnya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/02/653710/rampas-rokok-minuman-keras-seludup-bernilai-rm46-juta