Pusat rekreasi ala Miami Beach di Pantai Tok Jembal

KUALA NERUS: Pusat rekreasi mirip pantai Miami di Florida, akan dibangunkan di Pantai Tok Jembal di sini, sebagai tarikan pelancongan baharu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pusat rekreasi berkenaan akan menjadi lokasi selamat bagi pelancong, termasuk mandi laut.

Beliau berkata, sejumlah RM30 juta diperuntukkan bagi membangunkan pusat rekreasi itu yang akan bermula tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh kira-kira 18 bulan.

“Ini adalah projek khas kita untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.

“Selama ini penduduk tempatan dan pelancong bimbang mandi di pantai kita berikutan faktor keselamatan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, berkata pusat rekreasi yang mengetengahkan konsep taman tema itu akan menyediakan pelbagai kemudahan untuk mandi di pantai, jeti bot, tempat rekreasi, pusat keselamatan dan medan selera.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata, sebuah pusat hemodialisis akan disediakan di Seberang Takir tahun depan bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat melakukan rawatan.

“Alhamdulillah, ada pihak bermurah hati menanggung kos pembinaan pusat hemodialisis yang akan mula dibina tahun depan.

“Sebaik siap kelak, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu akan menempatkan 24 unit mesin hemodialisis untuk kegunaan pesakit,” katanya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/12/23/pusat-rekreasi-ala-miami-beach-di-pantai-tok-jembal/