PRU14: BN Sarawak kekal 16 penyandang, pertaruh 15 muka baharu

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak mengekalkan 16 penyandang kerusi, selain mempertaruhkan 15 muka baharu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi BN Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata enam muka baharu ditampilkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinannya, dengan Ketua Pemuda PBB Piasau, Lukanisman Awang Sauni menjadi calon termuda, pada usia 36 tahun, di Parlimen Sibuti.

Lukanisman, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Miri, menggantikan Datuk Ahmad Lai Bujang yang meminta direhatkan atas faktor kesihatan, selain mahu memberi peluang kepada calon muda.

Muka baharu lain yang ditampilkan PBB ialah Genot @ Jeannoth Sinel di Parlimen Puncak Borneo menggantikan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Dr James Dawos Mamit, yang turut meminta dirinya direhatkan atas faktor kesihatan.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat bertanding di Parlimen Betong sebagai konsensus pertukaran dengan Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang mengambil alih kerusinya DUN Bukit Saban pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11).

Pengunduran Datuk Norah Tun Abdul Rahman Ya’akub di Parlimen Tanjong Manis menyaksikan PBB menamakan jurutera perunding, Yusuf Abd Wahab, sebagai pengganti.

Parlimen Igan pula menyaksikan pengguguran penyandang kerusi itu, Datuk Abdul Wahab Dollah, yang digantikan usahawan, Ahmad Johnie Zawawi.

PBB turut mencalonkan muka baharu wanita tunggalnya, Datuk Haniffah Hajar Taib-Alsree, anak bongsu Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, yang bakal mempertahankan penguasaan BN di Parlimen Mukah.

Beliau menggantikan Tan Sri Dr Mohd Leo Michael Toyad, yang menyatakan hasrat mahu berundur selepas menyandang kerusi berkenaan selama 36 tahun sejak 1982.

Jurutera, Subeng Mula pula muncul sebagai calon muka baharu tunggal dari Parti Progresif Demokratik (PDP) bagi menggantikan penyandang kerusi Parlimen Saratok, Tan Sri William Mawan Ikom, selepas beliau secara rasmi menyertai PBB.

Sementara itu, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menggalas tanggungjawab berat untuk merampas kembali sekurang-kurangnya dua hingga tiga kerusi tradisinya yang kini dikuasai pembangkang.

Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian bertanding di Parlimen Stampin, manakala Setiausaha Agung SUPP yang juga ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, diturunkan di Parlimen Miri.
ADUN Repok, Samuel Huang pula dipertaruhkan untuk merampas kerusi Parlimen Sarikei manakala Parlimen Bandar Kuching pula menyaksikan SUPP menamakan calon wanita tunggal, Kho Teck Wan, dan Parlimen Lanang menyaksikan kelibat calon muda, Kelvin Kong.
Datuk Wong Kee Yew atau Andrew Wong, yang juga anak lelaki Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP), Datuk Seri Dr Wong Soon Koh, bertanding di Parlimen Sibu atas tiket SUPP susulan persetujuan dicapai kedua-dua parti.

Dua calon Parti Rakyat Sarawak (PRS), Rita Sarimah Insol (Selangau) dan Robert Pasang Alam (Lubok Antu) menjadi kelompok terakhir memasuki senarai, selepas kedua-dua penyandang kerusi berkenaan, Datuk Joseph Entulu Belaun dan Datuk William Nyalau Badak dipecat dari parti itu.

Abang Johari, pada sidang medianya, menyatakan keyakinan kesemua calon berkenaan berupaya menggalas memburu kemenangan besar BN Sarawak dalam PRU-14, termasuk menguasai lebih banyak kerusi.
Beliau berkata, usaha keras yang dijalankan sejak penggal lalu oleh jentera parti mampu meyakinkan akar umbi bahawa BN mampu membawa perubahan kepada kawasan yang sebelum ini dikuasai pembangkang.
“Saya dan kepimpinan BN Sarawak yakin untuk merampas antara 28 hingga 29 kerusi (daripada 31 kerusi Parlimen) dalam PRU-14 ini dengan usaha gigih jentera parti,” katanya.

Senarai penuh calon BN bagi 31 kerusi Parlimen Sarawak untuk PRU-14:

P.192 MAS GADING
Datuk Anthony Nogeh Gumbek (PDP)

P.193 SANTUBONG
Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (PBB)

P.194 PETRA JAYA
Datuk Seri Fadillah Yusof (PBB)

P.195 BANDAR KUCHING
Kho Teck Wan (SUPP)

P.196 STAMPIN
Datuk Dr Sim Kui Hian (SUPP)

P.197 KOTA SAMARAHAN
Rubiah Wang (PBB)

P.198 PUNCAK BORNEO
Genot Sinel @ Jeannoth Sinel (PBB)

P.199 SERIAN
Datuk Seri Richard Riot Jaem (SUPP)

P.200 BATANG SADONG
Datuk Seri Nancy Shukri (PBB)

P.201 BATANG LUPAR
Datuk Seri Rohani Abdul Karim (PBB)

P.202 SRI AMAN
Datuk Masir Kujat (PRS)

P.203 LUBOK ANTU
Robert Pasang Alam (PRS)

P.204 BETONG
Robert Lawson Chuat (PBB)

P.205 SARATOK
Jagah@Subeng Mula (PDP)

P.206 TANJONG MANIS
Yusof Abdul Wahab (PBB)

P.207 IGAN
Ahmad Johnie Zawawi (PBB)

P.208 SARIKEI
Huang Tiong Sii (SUPP)

P.209 JULAU
Datuk Joseph Salang Gandum (PRS)

P.210 KANOWIT
Datuk Aaron Ago Dagang (PRS)

P.211 LANANG
Kong Sien Chiu @ Kelvin Kong (SUPP)

P.212 SIBU
Wong Kee Yew @ Andrew Wong (SUPP)

P.213 MUKAH
Hanifah Hajar Taib (PBB)

P.214 SELANGAU
Rita Sarimah Patrick Insol (PRS)

P.215 KAPIT
Datuk Alexander Nanta Linggi (PBB)

P.216 HULU RAJANG
Datuk Wilson Ugak Kumbong (PRS)

P.217 BINTULU
Datuk Seri Tiong King Sing (PDP)

P.218 SIBUTI
Lukanisman Awang Sauni (PBB)

P.219 MIRI
Sebastian Ting Chiew Yew (SUPP)

P.220 BARAM
Anyi Ngau (PDP)

P.221 LIMBANG
Hasbi Habibollah (PBB)

P.222 LAWAS
Datuk Henry Sum Agong (PBB)

Source: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/04/416269/pru14-bn-sarawak-kekal-16-penyandang-pertaruh-15-muka-baharu