PRU14: Basil calon berpotensi bagi Parlimen Saratok

KABONG: Dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Parlimen Saratok, pelobi daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) kini mulai bergerak bertemu dengan rakyat.

Seorang daripada pelobi ialah Basil Thomas, 46, yang merupakan seorang usahawan mengendalikan syarikat berkaitan minyak dan gas beribu pejabat di Miri.

Beliau berasal dari Kabo Awik Krian, Saratok dan merupakan lulusan universiti luar negara.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Basil antara nama hampir menjadi calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.

Namun, atas sebab tertentu nama beliau tidak tercalon dan digantikan dengan Kilat Briak.

Kesinambungan usaha itu, Basil mengadakan perjumpaan dengan masyarakat di kawasan Nyabor kelmarin dan merupakan program keempat diadakan di daerah Kabong.

Pengerusi PDP Kabong Rabaiee Sulai berkata program itu lebih kepada sesi suai kenal dengan masyarakat peringkat akar umbi.

Katanya program itu dijalankan secara berterusan dan berperingkat dan menyeluruh bagi kawasan Kabong.

“Basil merupakan seorang yang berpotensi dan layak menjadi calon.

“Kita mahu kepimpinan atasan parti akan mengangkat namanya sebagai calon pada PRU14 nanti.

“Jika terpilih kami sememangnya akan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada beliau dan membantu memastikan Barisan Nasional (BN) menang besar,” katanya.

Basil sudah berumah tangga dan mempunyai empat cahaya mata, merupakan anak bongsu dalam keluarga dan anak jati Saratok.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2017/01/15/pru14-basil-calon-berpotensi-bagi-parlimen-saratok/