Projek Jiwa Murni jimat banyak kos

KUALA LUMPUR: Pembinaan jalan di pedalaman menerusi Projek Jiwa Murni (PJM) menyaksikan penjimatan hampir 65 peratus, selain melonjak kesalinghubungan penduduk di kota dan luar bandar.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum, berkata projek dilaksanakan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) secara usahasama dengan syarikat lantikan kerajaan itu hanya menggunakan peruntukan minimum, berbanding pembinaan secara biasa.

"Betul, pembinaan jalan menerusi PJM tidak capai standard Jabatan Kerja Raya (JKR), namun ia banyak membantu penduduk luar bandar yang sering dikatakan terpisah daripada arus kemodenan.

"Contoh, projek naik taraf jalan Belaga-Miri di Kapit. Kalau dibina secara konvensional iaitu mengikut spesifikasi JKR, kosnya adalah RM950 juta.

“Bagaimanapun, menerusi PJM, kita hanya berbelanja RM326 juta, iaitu penjimatan hampir 65 peratus,” katanya menjawab soalan tambahan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) di Dewan Rakyat, hari ini.

Shamsul membangkitkan pendedahan Laporan Audit 2015 mengenai pembinaan 11 projek jalan menerusi PJM yang dikatakan kurang memuaskan dan gagal menepati standard JKR.

Menyifatkan pendedahan itu tidak menimbulkan sebarang isu, Mohd Johari memetik contoh projek Bario ke Ba’kelalan yang memudahkan perjalanan anggota tentera ke kawasan berkenaan bagi mengawal sempadan negara.

"Dulu, tentera ambil masa hampir dua minggu untuk sampai. Kalau Ahli Parlimen Bukit Katil (Shamsul) jalan mungkin dua bulan pun tak sampai.

"Itu sekadar perumpamaan, tetapi justifikasi PJM ini adalah ia memberi kemudahan perjalanan sehingga menyaksikan penduduk boleh keluar daripada kawasan pedalam dalam tempoh sekitar empat jam.

“Projek jalan Bario-Ba’kelalan ini turut merekodkan penjimatan yang banyak kerana kos pembinaan menerusi PJM adalah murah berbanding kaedah konvensional,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/03/398542/projek-jiwa-murni-jimat-banyak-kos