Program ‘Cari dan Bantu’ KPWKM alternatif kesan golongan sasar

SRI AMAN: Program Cari dan Bantu diwujudkan menerusi Program Kembara Kasih Kebajikan 1Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia (KPWKM) dilihat dapat membantu kementerian termasuk agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan rakyat memerlukan bantuan agensi berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, program ini dapat membantu KPWKM termasuk agensi JKM mengesan mereka memerlukan bantuan dan dilulus segera tetapi bergantung kepada kes.

“Program ini dapat membantu mereka memerlukan bantuan JKM atau mereka terlepas pandang oleh kementerian mahupun JKM sebelum ini,” katanya selepas menyertai Program Home Help bersama JKM Sarawak serta kementerian beliau di Kampung Tengah dekat sini petang tadi.

Rohani menjelaskan, pihaknya akan membantu apa jua termasuk memberi kelulusan segera kepada permohonan layak.

Katanya, kementerian berharap agar rakyat berdekatan kawasan Program Kembara Kasih Kebajikan 1Malaysia ini supaya mengambil peluang keemasan mengajukan permohonan masing-masing untuk dilihat dan dibantu segera.

Menyentuh mengenai program yang bermula di Lundu, Sarawak Jumaat lalu, Rohani menjelaskan, rombongan kembara turut disertai sukarelawan kebajikan seluruh Malaysia yang akan singgah di beberapa bahagian di Sarawak termasuk di Sarawak dan ke Semenanjung Malaysia.

“Hari ini (semalam), rombongan kami singgah di Sri Aman dan mengadakan beberapa program termasuk ‘Program Home Help Services’ di empat rumah pelanggan JKM termasuk menyampai sumbangan, memberi pemeriksaan kesihatan, gotong-royong serta membantu membersih rumah pelanggan terlibat.

“Rombongan juga akan berada di Sibu, Sarawak pada Ahad ini dan akan meneruskan kembara ini ke Bahagian Bintulu dan ke Miri, Sarawak pada 14 Mac ini seterusnya ke Labuan dan Sabah dan kembara akan berakhir di Bagan Dato, Perak pada 9 April depan,” jelasnya.

Tambah Rohani lagi, pada program kembara diadakan kali ini, ia telah melibat pasukan kesihatan dan pergigian melibatkan doktor untuk membantu kementerian dan JKM memberikan perkhidmatan kesihatan kepada pelanggan.

“Kembara diadakan dua tahun sekali ini melibatkan rakan kolaboratif baharu kementerian iaitu Pasukan Kesihatan dan Pergigian yang banyak membantu dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan JKM,” jelasnya.

Turut serta dalam program berkenaan, Pengarah JKM Sarawak, Abang Shamshuddin Abang Seruji.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/03/12/program-cari-dan-bantu-kpwkm-alternatif-kesan-golongan-sasar/