Produk WellBest didaftar dengan MyIPO

SERAH
SIJIL: Fatimah (empat kanan) menyerahkan sijil penyertaan kepada salah seorang
penerima UMK sambil disaksikan Dr Abdul Rahman (tiga) kanan dan Megir (dua
kanan) di Kuching semalam.

SERAH SIJIL: Fatimah (empat kanan) menyerahkan sijil penyertaan kepada salah seorang penerima UMK sambil disaksikan Dr Abdul Rahman (tiga) kanan dan Megir (dua kanan) di Kuching semalam.

Bertujuan lindungi produk, jenama, reka cipta daripada dimanipulasi, diciplak

Oleh Siti Aisyah Ramli //

KUCHING: Produk jenama WellBest keluaran Usahawan Mikro Kebajikan (UMK) Sarawak akan didaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada tahun depan.

Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah, pendaftaran tersebut bertujuan melindungi produk, jenama dan reka cipta mereka daripada dimanipulasi atau diciplak pihak tidak bertanggungjawab.

“Pada masa sama, apabila jenama (WellBest) ini telah didaftarkan kelak, kita mahu ia menjadi jenama lazim dan kekal sebagai jenama untuk produk keluaran UMK,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival UMK Sarawak 2016 yang berlangsung di Padang Merdeka di sini semalam.

Setakat ini katanya, UMK di seluruh negeri ini merekod seramai 400 orang dan beliau menyasarkan pertambahan jumlah penyertaan UMK pada 2017 menjadi seramai 750 orang.

Terdahulu dalam ucapannya ketika mengulas lanjut mengenai UMK, Fatimah berkata ia merupakan salah satu usaha kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu penerima bantuan bulanannya menjana ekonomi tambahan sekali gus keluar daripada garis kemiskinan.

“Saya berpegang kepada pepatah lebih baik memberi joran, daripada memberi ikan kerana ada dalam kalangan penerima kebajikan yang kita rasakan berkemampuan untuk dikembangkan potensi mereka khususnya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

“Maka itu, JKM memberi fokus kepada kumpulan ini yang kita kategorikan sebagai klien produktif dari segi umur dan tenaga mereka masih dapat kita bangunkan menjadi usahawan,” jelasnya.

Jelasnya lagi, usaha itu juga bertepatan dengan ‘Polisi Keluar JKM’ yang menggalakkan penerima bantuan berusaha menambah pendapatan sampingan dan tidak hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada JKM semata-mata.

“Jika mahu bergantung kepada bantuan bulanan yang diberikan, sememangnya ia tidak mencukupi, justeru saya sarankan setiap klien JKM menggiatkan diri menceburi bidang keusahawanan yang mampu memberi pulangan berganda kepada anda sekali gus keluar daripada garis kemiskinan,” katanya.

Tambah beliau, tahun depan, kementeriannya akan memperuntukkan sejumlah RM2 juta bagi membantu para UMK selain bantuan maksimum berjumlah RM5,000 kepada setiap seorang usahawan.

Mengenai Karnival UMK Sarawak 2016 itu, ia merupakan penganjuran kali keempat bagi 2016 di mana penganjuran pertama diadakan di Bintulu pada April lalu, diikuti Kota Samarahan (Mei) dan Sibu (Julai).

Karnival UMK Sarawak 2016 yang bermula Jumaat dan berakhir semalam disertai seramai 118 usahawan dari Kuching, Sri Aman, Mukah, Sarikei, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.

Antara produk yang dijual termasuk barangan kraf tangan, produk anyaman, makanan dan banyak lagi.

Hadir sama Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Komuniti Dr Abdul Rahman Ismail, Pengarah JKM Abang Shamsudin Abang Seruji dan Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datin Megir Gumbek.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/30/produk-wellbest-didaftar-dengan-myipo/