PPWS hargai sumbangan aktif ahli

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud//

BINTULU: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Bahagian Miri-Bintulu mengadakan majlis menghargai sumbangan dan penglibatan aktif ahli pertubuhan sempena sambutan Jubli Emas dan ulang tahun ke-50 pertubuhan itu malam kelmarin.

Majlis diadakan di restoran Kelab Kidurong Bintulu itu membabitkan penghargaan kepada 24 ahli di bahagian Bintulu dan daerah Tatau yang menjadi ahli dalam PPWS selama 25 tahun dan ke atas hingga kini.

Penasihat PPWS Bahagian Miri-Bintulu Datuk Ursula Goh berkata, untuk ahli-ahli di daerah Bintulu dan Tatau, malam ini cukup bersejarah buat mereka yang menerima penghargaan termasuk beliau sendiri berikutan dapat sama-sama menyambut ulang tahun ke-50 PPWS Miri-Bintulu.

Beliau menjelaskan PPWS adalah pertubuhan wanita terbesar di negeri ini dan beliau sendiri menjadi ahli pada Mac 1965.

“Selama 50 tahun lamanya perasaan saya sangat terharu melihat ahli aktif mengikuti dan memberi sokongan penuh tidak terhingga terhadap PPWS,” ujarnya yang merupakan pengasas PPWS Miri-Bintulu.

Katanya, majlis itu adalah sebagai tanda mengingati ahli yang menempuh perjalanan selama setengah abad bagi meneruskan perjalanan selepas menempuh perjalanan 50 tahun lepas.

“Seperti perjalanan dalam sebuah kapal, kru taat setia perlu meneruskan perjuangan dan rancang aktiviti serta bekerjasama secara berpasukan,” katanya.

Terdahulu, 24 penerima penghargaan itu adalah untuk adalah untuk ahli yang tidak dapat hadir di majlis yang sama di Miri pada 19 Disember tahun lepas. Antara yang paling lama menjadi ahli PPWS ialah Hanipah Salleh berumur 79 tahun.

Beliau menjadi ahli PPWS selama 57 tahun sejak umur 22 tahun hingga sekarang.

Selain 24 ahli yang menerima penghargaan pada malam itu, 48 ahli lagi telah menerimanya di Miri. Turut hadir Pengerusi PPWS Bahagian Miri-Bintulu, Juliana Sidi; Pengerusi penganjur PPWS Miri-Bintulu, Hayati Sulaiman; Setiausahanya, Habsah Daud dan Pengerusi PPWS Bintulu, Jamilah Aziz.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/01/23/ppws-hargai-sumbangan-aktif-ahli/