PPTD sumbang al-Quran cetakan Braille

KUCHING: Sejumlah 92 naskhah al-Quran cetakan Braille di Sarawak dan Kalimantan Barat, Indonesia melalui Program Jelajah Kembara TransBorneo anjuran Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Malaysia.

Setiausaha Jelajah Kembara TransBorneo PPTD Malaysia, Nur Najihah Md. Abas, berkata inisiatif sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) persatuan itu yang digerakkan bersama PPTD Wilayah Sarawak dan Jawatankuasa PPTD Troopers, khusus bagi mendekati golongan sasar.

“Kali ini kita merentasi Sarawak dan Kalimantan Barat bagi memenuhi keperluan sosial masyarakat pedalaman dan luar bandar, terutama dari kelompok golongan kurang upaya (OKU), khususnya yang mengalami masalah penglihatan.

“Ia disempurnakan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Shahabuddin Omar, malah kita turut menyalurkan bantuan beg makanan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Penerima membaca al-Quran cetakan Braille. - Ihsan PPTD

Katanya, program jelajah yang berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober lalu turut meliputi kawasan seperti Sambas, Singkawang dan Pontianak di Kalimantan Barat, selain Kuching, Sibu serta Miri di Sarawak.

Nur Najihah ketika mengulas lanjut, berkata antara sekolah menerima sumbangan al-Quran itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Jaya; SMK Sungai Merah di Sibu; Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Kuching dan SK Pendidikan Khas Miri.

“Turut menerima sumbangan itu ialah Pertubuhan Orang Buta Sarawak, Pustaka Negeri Sarawak dan Masjid India Kuching (Masjid Terapung Kuching),” katanya.

“Di Kalimantan Barat, sumbangan diagihkan ke Masjid Agung Nurul Islam, Singkawangm; Masjid Raya Mujahiddin, Pusat Asuhan Tuna Netra Ar-Rahmah, Pusat Asuhan Tuna Netra Sepakat, Pusat Tahfiz El-Amani dan Sekolah Luar Biasa Rasau Jaya di Pontianak,” katanya.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/10/622064/pptd-sumbang-al-quran-cetakan-braille