PPM dan SFC rampas balak haram

BINTULU: Pasukan Polis Marin (PPM) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) membongkar penebangan balak secara haram di Batu 8, Jalan Bintulu-Miri.

Dalam Ops Landai kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam itu, tiga anggota PPM Wilayah 5 dan tujuh penguat kuasa SFC Bintulu menemui longgokan kayu lompong atau yang dipotong pendek di kawasan lapang di hutan berkenaan.

Komander PPM Wilayah 5, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman, berkata pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 512 batang kayu lompong pelbagai jenis dan saiz, dipercayai dikeluarkan dari hutan berdekatan.

Beliau berkata, kayu berkenaan yang dianggarkan bernilai RM35,000 dikumpulkan di lokasi itu, sementara menunggu untuk dihantar ke kilang.

"Pemeriksaan mendapati semua 512 batang kayu lompong itu tidak mempunyai tanda hak milik serta tanda cukai Jabatan Hutan Sarawak.

“Tiada jentera ataupun suspek di tempat kejadian ketika pemeriksaan dan kami mengesyaki penebangan dijalankan tanpa kelulusan Jabatan Hutan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salehuddin berkata, semua kayu lompong itu disita untuk siasatan mengikut Seksyen (80) Ordinan Perhutanan Sarawak 2015.

“Kes itu diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak di Bintulu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/01/381613/ppm-dan-sfc-rampas-balak-haram