Pondok pengajian al-Quran dibina di Lambir tahun depan

JUALAN: (Dari kanan) Samad, Sameon, Sebastian, Ali dan Ahmad Lai ketika
mengunjungi gerai kain dan tudung pada jualan amal Persatuan Imam Miri
semalam.

JUALAN: (Dari kanan) Samad, Sameon, Sebastian, Ali dan Ahmad Lai ketika mengunjungi gerai kain dan tudung pada jualan amal Persatuan Imam Miri semalam.

MIRI: Persatuan Imam Bahagian Miri bakal membina bangunan khas untuk pengajian bacaan al-Quran di tanah wakaf seluas tiga suku ekar, di Batu 8 dekat Lambir di sini.

Pengerusinya Ali Abdul Rahman memberitahu, projek pondok dianggarkan bernilai RM300,000 itu dirancang dibangunkan pada tahun depan.

“Dengan adanya tapak tanah ini kita akan memiliki pondok pengajian al-Quran di sini dan ia menjadi pondok ilmu mengajar al-Quran kepada penduduk sekitar,” katanya ketika perasmian jualan amal di Taman Rekreasi Piasau Jaya Fasa Dua di sini semalam.

Menurut Ali, penganjuran jualan itu juga sebagai permulaan mereka mengumpul dana untuk projek pondok tersebut.

Persatuan itu turut mengharapkan kerjasama dan sokongan penduduk sekitar Miri menghulurkan sumbangan untuk tabung projek tersebut.

Mengulas lanjut tentang jualan amal, Ali berkata ia antara cara untuk mendekatkan ahli dengan masyarakat setempat.

“Kita menggerakkan minda imam dan tenaga bilal kebanyakannya berusia lebih 60 tahun terlibat dalam aktiviti selain mengutip dana,” jelas beliau.

Jualan amal selama tiga bulan itu adalah pertama dianjurkan dengan penyertaan 15 gerai menjual pelbagai produk seperti makanan, minuman, pakaian, bunga dan buah-buahan mulai jam 8.30 pagi hingga 4 petang.

Untuk tabung pondok itu, persatuan tersebut menerima geran sejumlah RM50,000 iaitu RM30,000 daripada Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang dan RM20,000 daripada ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting.

Ahmad Lai berkata, geran yang akan disampaikan pada tahun depan itu, diharap dapat membantu mempercepat kerja-kerja pembangunan projek.

“Aktiviti seperti ini dapat mengaktifkan tenaga imam-imam agar bercampur gaul dan berjumpa dengan masyarakat,” jelasnya.

Beliau berharap masyarakat Miri akan terus memberi sokongan kepada persatuan terbabit menggerakkan peranannya.

Didaftarkan pada 26 Jun 2013, persatuan itu kini dianggotai seramai 30 ahli terdiri daripada imam, bilal dan ahli-ahli biasa.

Sebastian dalam ucapan ringkasnya berterima kasih kepada pengundi di Miri termasuk di Piasau atas kemenangan di kerusi DUN Piasau semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Sokongan pengundi membolehkan beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat membantu menjaga kebajikan dan membangunkan bandar raya ini serta penduduk Miri.

Hadir sama Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Julaihi Mohamad, Penghulu Sameon Gani, Penghulu Abdul Samad Alip dan Pengerusi Biro Kebajikan dan Anak Yatim Masjid Darul Ehsan Talhah Mansur.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/12/27/pondok-pengajian-al-quran-dibina-di-lambir-tahun-depan/