Polis dan masyarakat saling memerlu, kata Gan

Kerjasama erat akan dapat membendung jenayah daripada menjejaskan kesejahteraan

Oleh Mohd Achil Norrlatep //

MIRI: Polis dan masyarakat dilihat sebagai gabungan tidak dapat dipisah dan saling berkaitan antara satu sama lain, kata Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Hee.

Jelasnya, malah institusi polis wujud adalah kerana memenuhi keperluan masyarakat.

Terbentuknya institusi polis kerana masyarakat untuk menjaga serta menjamin kesejahteraan, katanya sempena majlis makan malam Peringatan Hari Polis Ke-208 bertempat di Eastwood Valley Golf & Country Club malam kelmarin.

Menurutnya, di mana-mana negara dalam dunia terdapat peratusan dicatat bahawa segelintir masyarakat terlibat dalam jenayah dan perkara sebegitu tidak dapat dielak sama sekali.

Beliau memberitahu, sebanyak lima hingga 10 peratus bilangan masyarakat cenderung terlibat dalam jenayah.

Ini menjadi tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi ia masih memerlukan masyarakat memain peranan menyokong pelaksanaannya, katanya.

Jelasnya,kerjasama antara pihak polis dan masyarakat adalah amat perlu demi membanteras jenayah yang berlaku.

Makan malam itu merupakan anjuran Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah Miri dan pelbagai aktiviti diadakan seperti nyanyain secara langsung, nyanyian karaoke, tarian, cabutan bertuah dan tema pakaian tercantik.

Turut hadir pada majis adalah Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit dan Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau Jok.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/05/17/polis-dan-masyarakat-saling-memerlu-kata-gan/