PKR yakin miliki calon mampu tumbangkan BN

MIRI: Belajar daripada kesilapan dan kelemahan selama ini, terutama soal memilih calon sesuai menghadapi pilihan raya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak dan Miri khususnya mengakui semakin matang memilih calon.

Setiausaha PKR Miri Bill Kayong menjelaskan, aliran politik PKR kini bukan hanya menarik penyokong namun memiliki calon mampu me-numbangkan saingan terutama Barisan Nasional (BN).

Beliau mengakui ada kelemahan sebelum ini, lebih-lebih lagi PKR kekurangan calon berkaliber namun sekarang agak berbeza kerana ia semakin diterima rakyat negeri ini.

Perjuangan kami semakin mendapat tempat dan sokongan terutama dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi. Berbeza keadaan ketika mula bertapak di Sarawak dahulu.

Kini kami boleh berbangga kerana mempunyai senarai calon boleh menang dan tinggal menapis bagi mencari yang terbaik mewakili PKR, katanya.

Menurut Bill, calon dikete-ngah PKR kali ini bukan sahaja pesara kerajaan yang pernah berjawatan tinggi sebaliknya usahawan, doktor, jurutera dan peguam malah semakin ramai melobi calon yang benar-benar berkelaya-kan.

Apa yang perlu dilakukan oleh PKR Miri kali ini hanya menyenarai calon berpotensi sebelum ia disenarai pendek mengikut kerusi ditandingi, katanya.

Mengenai kerusi bakal ditandingi di Miri, Bill memberitahu bahawa Pakatan Rakyat di sini terdiri daripada PKR, DAP dan PAS, hampir pasti mencapai persepakatan.

Mengakui kehebatan DAP menawan kawasan bandar, Bill berkata mereka mungkin menyerahkan kedua-dua kerusi di pusat bandar Miri seperti Piasau dan Pujut kepada DAP manakala PKR mengekalkan kerusi Senadin.

Kerusi DUN Bekenu dengan Lambir akan dibincangkan bersama PAS.

Jika PAS mempunyai calon dan PKR tiada, kita serah kepada PAS untuk bertanding, begitu juga sebaliknya.

Tetapi jika PAS dan PKR sama-sama mempunyai calon untuk kedua-dua kerusi berkenaan, kami melakukan perbincangan menentukan siapa patut bertanding, katanya.

Jelasnya, ia bukan sahaja berdasarkan kekuatan tetapi paling penting calon dike-tengahkan harus calon boleh menang.

Beliau memberitahu, ketiga-tiga parti dalam PR, seboleh-bolehnya mengelak berlaku pertindihan kerusi dan jika ada, ia akan diselesai dengan baik kerana matlamat PR kali ini untuk memenangi semua kerusi ditandingi sekali gus mengalahkan sebanyak mungkin calon BN.

Sementara itu di Baram pula, Setiausaha PKR Baram Dennis Along turut mengakui kenyataan Bill bahawa PKR semakin mendapat tempat dalam kalangan golongan profesional.

Katanya mereka sudah mempunyai senarai calon berwibawa yang bertanding di kerusi DUN Marudi, Telang Usan dan kerusi baharu Mulu jika dilulus.

Di Marudi, kami sudah ada tiga calon berpotensi, dua wanita dan seorang lelaki termasuk pelajar lepasan universiti dengan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Manakala di Telang Usan dan Mulu, masing-masingnya ada seorang calon, jelasnya tanpa mahu mendedahkan lebih lanjut.

Namun yang pasti menurut Dennis, Ketua PKR Baram Roland Engan juga seorang peguam, hampir pasti bertanding semula namun belum memutus sama ada di kerusi Telang Usan mahupun DUN baharu, Mulu.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/05/07/pkr-yakin-miliki-calon-mampu-tumbangkan-bn/