PKP: 95 dikompaun ingkar PKP

KUCHING: Ketegasan polis menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi faktor utama peningkatan jumlah individu yang dikompaun kerana mengingkari arahan itu di Sarawak.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, tahap pematuhan PKP di Sarawak kini lebih dari 97 peratus.

Beliau berkata, pada peringkat awal PKP, polis lebih banyak mengambil pendekatan memberi nasihat atau amaran kepada mereka yang berkeliaran tanpa sebab munasabah.

“Apabila hampir sebulan PKP dikuatkuasakan, polis bertindak lebih tegas, bukan lagi sekadar memberi nasihat atau amaran.

“Polis tegas dalam mengeluarkan kompaun atau menangkap mereka yang tidak bekerjasama atau menghalang tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan ketegasan polis itu katanya, jumlah kompaun semakin meningkat sejak tindakan kompaun dikuatkuasakan empat hari lalu.

Pada hari pertama tindakan kompuan RM1,000 dikuatkuasakan Khamis lalu, hanya seramai tujuh orang dikompaun, namun angka melonjak kepada 73 pada Jumaat dan terus meningkat apabila 89 orang dikompaun semalam.

Dalam tempoh 24 jam bermula jam 8 pagi semalam sehingga 8 pagi hari ini,jumlah kompaun terus meningkat kepada 95 orang.

Daripada jumlah itu, Kuching merekodkan kompaun paling banyak iaitu 25 orang diikuti Sarikei (21), Kota Samarahan (14), Betong (7), Miri (4), Bau (4), Simunjan (4), Saratok (4), Bintulu (3), Padawan (2), Kapit (2), Matu Daro (2), Sibu (1), Marudi (1) dan Lubok Antu (1).

Sementara itu, Dev Kumar berkata seramai 17 individu ditangkap dalam tempoh 24 jam bermula semalam hingga jam 8 pagi ini kerana melanggar PKP.

Miri mencatat jumlah tangkapan tertinggi dengan sembilan orang Kuching (2), Sibu (2), Padawan (2), Dalat (1) dan Tatau (1), menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan di Sarawak kini seramai 573 orang.

Lagi berita mengenai COVID-19

Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/04/676139/pkp-95-dikompaun-ingkar-pkp