Pinjaman terbuka kepada semua rumah panjang

HDC telah memperkenal Skim Pinjaman Rumah Panjang Mesra Rakyat sejak tahun lalu

// Oleh Kelvin Lambai //

RASMI: Francis (tiga kiri) memotong reben merasmikan jalan menuju rumah panjang terbabit sambil diperhatikan oleh Pilit (dua kiri) serta yang lain.

RASMI: Francis (tiga kiri) memotong reben merasmikan jalan menuju rumah panjang terbabit sambil diperhatikan oleh Pilit (dua kiri) serta yang lain.

SRI AMAN: Perbadanan Perumahan Negeri Sarawak (HDC) telah memperkenal satu lagi skim pinjaman perumahan iaitu Skim Pinjaman Rumah Panjang Mesra Rakyat sejak tahun lalu.

Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis berkata pinjaman tersebut boleh dibuat secara bertulis atau datang sendiri ke pejabat HDC di Kuching untuk permohonan.

Menurutnya, permohonan pinjaman itu terbuka kepada mana-mana rumah panjang yang berminat termasuk pelan rumah panjang akan disediakan HDC.

“Bukan setakat itu sahaja, rumah panjang dibangunkan juga adalah setingkat manakala jumlah bilik terpulang kepada pemilik rumah tersebut.

“Bangunan rumah panjang juga dibina secara tender oleh pemaju dilantik oleh HDC dan pinjaman perumahan maksimum berjumlah RM75,000 sehingga RM80,000,” katanya pada Majlis Penyampaian Anak Ayam anjuran Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman di Rumah Pilit, Kaong Undop dekat sini, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu menjelaskan, kerajaan memberi subsidi RM25,000 dan peminjam hanya membayar balik pinjaman mereka RM50,000 untuk tempoh 25 tahun.

Oleh itu, rumah panjang berminat boleh membuat permohonan segera dan HDC dapat menghantar pegawai untuk memberi penerangan lebih lanjut tentang pinjaman itu.

“Sebelum membuat permohonan, penduduk terlibat perlu menyukat tanah tapak rumah panjang mereka dan dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Survei untuk mendapatkan ‘land title’ terlebih dahulu,” jelasnya.

Tambahnya, Rumah Collin di Bakong Miri merupakan projek perintis skim ini dan pelancarannya diadakan tahun lalu.

Hadir sama Pegawai Bomba Sri Aman Jilin Itar, Pegawai Jabatan Pertanian Sri Aman Chana Langkan, Kaunselor Andar Suntai serta yang lain.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/02/02/pinjaman-terbuka-kepada-semua-rumah-panjang/